GUA MUSANG – Kedudukan rumah seorang warga emas yang terletak di pinggir Sungai Galas di Kampung Limau Kasturi di sini menyebabkan dia terpaksa menempuh pengalaman 52 kali berdepan bencana banjir sepanjang hidupnya.
Aishah Hussin, 81, berkata, pengalaman terburuk baginya adalah ketika peristiwa bah enam tahun lalu apabila keseluruhan rumahnya tenggelam banjir.
Katanya, situasi itu menyebabkan dia sekeluarga membuat persiapan awal untuk berpindah apabila melihat keadaan Sungai Galas semakin meningkat.
“Rumah kami terletak kira-kira 10 meter dari sungai menyebabkan kami sudah lali apabila rumah dilanda banjir.
“Kami juga telah membuat loteng dalam rumah untuk meletak barang penting termasuk pakaian, tilam, bantal dan dokumen penting,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.
Aishah berkata, dia tinggal bersama anak perempuan sulungnya, Azizah Ismail, 43, menantunya, Sham Othman, 55, dan tiga cucu bersiap sedia untuk berpindah apabila air Sungai Galas sudah mencecah tangga rumahnya.
Katanya, rumahnya antara yang terawal dinaiki banjir kerana hampir dengan sungai.
“Air Sungai Galas mulai naik pukul 8 pagi tadi apabila hujan berterusan menyebabkan air telah melimpahi jalan kampung ini.
“Kami berharap agar kerajaan dapat memberi bantuan kediaman baharu untuk penduduk yang tinggal di tepi sungai supaya tidak cemas sekiranya berlaku banjir,” katanya.
Tambah Aishah, ketika banjir 2014, dia tidak sempat menyelamatkan diri dan terperangkap dalam rumah sebelum diselamatkan oleh menantu dan cucunya. – K! ONLINE