PETALING JAYA – Seramai 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan semalam menerusi Ops Benteng yang bertujuan mengawal sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain 42 PATI berkenaan, dua orang tekong turut ditahan termasuk merampas lapan buah kenderaan darat pelbagai jenis.
“Sebanyak 118 Sekatan Jalan Raya (SJR) turut dilaksanakan menerusi Ops Penawar (47), Ops Benteng Polis Diraja Malaysia (PDRM) (62) dan Ops Benteng Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) (9).
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya menerusia satu kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 88,827 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 73 hotel juga 16 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, seramai 8,357 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 532 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 79,938 individu telah dibenarkan pulang.
“Mereka telah pulang dari 36 negara, iaitu antaranya Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos dan Qatar,” jelas beliau.-K! ONLINE