fbpx

K2

Zeena konstabel hijab pertama New Zealand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZEENA ALI

ZEENA ALI mengemaskan hijab yang menutupi mahkota wanitanya.

Sambil merenung seragam polis rona biru gelap yang tersarung kemas pada tubuh tinggi lampainya itu, dia tersenyum sendiri.

Akui wanita berusia 33 tahun itu, dia tidak menyangka hasratnya untuk menyumbang bakti di dalam pasukan polis New Zealand tercapai selepas dilantik sebagai seorang konstabel dan ditempatkan di Ibu Pejabat Tāmaki Makaurau awal minggu lalu.

Lebih membanggakan apabila Zeena turut menjadi sebahagian daripada sejarah negara itu apabila bergelar wanita berhijab pertama di dalam pasukan polis di New Zealand.

“Saya berbesar hati kerana menjadi anggota polis wanita bertudung pertama di negara ini.

“Secara rasminya juga, ini menunjukkan pasukan polis di New Zealand kini mempunyai pakaian seragam bagi wanita Muslimah seperti saya.

“Saya berharap agar selepas pemakaian tudung diperkenalkan kepada umum, ia dapat menarik lebih ramai wanita Muslimah untuk menyertai pasukan polis,” katanya memulakan bicara.

Pemakaian hijab yang diperkenalkan di New Zealand bertujuan untuk mewujudkan perkhidmatan lebih inklusif.

Ia bagi mencerminkan kepelbagaian komuniti di negara itu selain menjadi salah satu inisiatif bagi mendorong lebih ramai penyertaan dalam kalangan wanita Muslim.

HIJAB ini direka oleh Zeena dengan kerjasama Massey Design School.

New Zealand merupakan negara bukan Islam keempat selepas Australia dan United Kingdom menawarkan pemakaian tudung sebagai pilihan dalam pakaian seragam anggota keselamatan mereka.

Perbadanan Penyiaran British (BBC) dalam sebuah laporan melaporkan, di Australia, pemakaian hijab dalam kalangan anggota polis di negara tersebut bermula pada tahun 2004 selepas seorang polis dari Victoria, Maha Sukkar memakainya.

Di United Kingdom pula, Polis Metropolitan di London meluluskan seragam berhijab pada tahun 2006.

Pasukan Polis Scotland pula menyusul berbuat demikian pada tahun 2016.

Serangan pengganas

Bercerita lanjut, menurut anak kelahiran Fiji itu, beliau menyertai pasukan polis New Zealand pada tahun 2019 selepas kejadian serangan pengganas terhadap dua buah masjid di Christchurch tahun lalu dengan niat mahu membantu komuniti Islam di negara tersebut.

Dalam insiden yang berlaku pada pertengahan Mac itu, seramai 51 individu terbunuh dalam serangan di dua buah masjid berlainan.

Tragedi itu menjadi titik tolak buat dirinya untuk beralih kerjayanya daripada bidang perkhidmatan pelanggan kepada penguatkuasaan undang-undang.

Misinya pada waktu itu hanyalah satu, iaitu mahu membantu komuniti Islam di New Zealand.

“Serangan di dua buah masjid di Christchurch merupakan satu isu yang sangat besar dan ia hangat diperkatakan di seluruh dunia.

“Salah seorang pengawal keselamatan di tempat saya bekerja pada waktu itu bekerjasama dengan polis dalam menjalankan siasatan. Mereka meminta bantuan saya untuk mendapatkan keterangan orang ramai kerana kesukaran berkomunikasi terutamanya dalam kalangan wanita Muslim.

“Majoriti wanita Muslim takut untuk bercakap dengan polis dan hanya akan berdiam diri di depan pintu rumah. Dek ketakutan itu juga, ada antara mereka yang diam membisu di dalam rumah biarpun pintu kediaman diketuk berulang kali,” jelasnya.

Melihatkan situasi tersebut, Zeena mula menyedari New Zealand memerlukan wanita Muslim bagi menyelesaikan kes-kes seperti itu.

Lantas itu, Zeena mula menyertai Royal New Zealand Police College penghujung tahun lalu sebelum ditauliahkan sebagai konstabel bulan lalu.

Rekaan hijab

Bukan sahaja menjadi wanita bertudung pertama dalam pasukan polis di negara tersebut, Zeena juga merupakan individu yang bertanggungjawab menghasilkan rekaan tudung itu.

Menariknya, proses reka bentuk tudung ini bermula sebelum Zeena menyertai Royal New Zealand Police College lagi.

“Saya begitu gembira apabila dipilih mewakili komuniti wanita Muslim untuk terlibat dalam penghasilan uniform seragam polis ini.

“Ini menunjukkan, pasukan polis di negara ini berusaha keras memastikan tudung yang dipakai memenuhi aspek kesihatan, keselamatan dan keperluan peribadi saya sebagai seorang muslimah,” ujarnya.

Bagi penghasilan seragam ini, Zeena bekerja rapat dengan Massey Design School. Sepanjang tempoh tersebut, Zeena bertukar-tukar pendapat sebelum mereka kemudiannya bereksperimentasi dengan pelbagai bahan bagi menghasilkan output yang terbaik.

Menjadi wanita pertama berhijab dalam pasukan tersebut sememangnya memberi pelbagai keistimewaan buat Zeena.

ZEENA bergambar bersama rakan setugas selepas ditauliahkan sebagai konstabel polis di New Zealand.

Beliau bukan sahaja terlibat dalam rekaan tudung, tetapi juga mempunyai tudung khas yang dihasilkan sewaktu kursus merekrut dan majlis pertabalan konstabel awal minggu lalu.

Bercerita lanjut menurut Zeena lagi, sewaktu membuat rekaan untuk uniform ini, beliau menekankan aspek pemakaian Muslimah secara menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai aspek seperti budaya dan keagamaan bagi memastikan ia menepati syariat Islam.

“Kami turut memastikan tudung ini mampu berfungsi dengan baik dan tidak membataskan pergerakan anggota ketika melaksanakan tugas.

“Saya bangga memakainya dan saya berharap orang-orang di luar sana juga akan berbangga dengan saya,” ceritanya.

Mengulas lanjut, menurut Zeena lagi, faktor pakaian merupakan antara punca golongan wanita Muslimah tidak melibatkan diri dalam dunia kepolisan di negara tersebut.

“Dahulu, sebelum uniform ini diperkenalkan, wanita berhijab yang berminat untuk menyertai badan beruniform ini mungkin terpaksa memendam sahaja hasrat tersebut.

“Tambahan pula, uniform yang diwujudkan pada waktu itu tidak bersesuaian dengan status mereka sebagai seorang Muslimah yang perlu menutup aurat.

“Bagaimanapun, semua ini akan berubah tidak lama lagi. Saya yakin dengan uniform baharu ini, ia bukan sahaja mampu menarik minat, tetapi menjadikan wanita Muslimah di negara ini lebih bersemangat untuk menyertai badan ini,” katanya.

Ujarnya lagi, polis New Zealand menilai kepelbagaian sebagai salah satu daripada enam nilai teras pasukan iaitu profesionalisme, rasa hormat, integriti, empati dan komitmen terhadap Maori dan Perjanjian Waitangi.
“Saya berbangga mewakili komuniti Muslim di negara ini,” ucapnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI