fbpx

Wujudkan Liga Bola Sepak wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SOPI SAMAILE,
PENGARANG BERITA KOSMO.

SUKAN bola sepak wanita belum cukup popular di negara ini malah penyertaan kaum hawa terhadap sukan No. 1 di Malaysia itu masih belum meluas.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, peminat bola sepak sudah mula berbeza pendapat terhadap penyertaan kaum wanita dalam sukan berkenaan dan mula meluahkan pandangan masing-masing.

Mungkin kemunculan laporan mengenai gadis remaja Celine Chuang, 15, dan Berlin Leong Xin Ying, 19, yang menempa nama di pentas Eropah telah mengubah persepsi peminat bola sepak tanah air.

Rata-rata peminat bola sepak tempatan meluahkan rasa bangga dan kagum dengan kehadiran dua gadis remaja itu beraksi dengan kelab elit di Eropah.

Celine misalnya, merupakan pemain skuad wanita bawah 15 tahun (B-15) kebangsaan telah mencipta sejarah apabila muncul pemain wanita pertama negara mewakili kelab gergasi Jerman, Bayern Munich.

Meskipun sedar bola sepak wanita kurang popular di Malaysia, ia tidak menghalang Celine mencuba nasib membina karier di luar negara agar boleh bersaing secara kompetitif dan hasilnya terpilih beraksi dengan skuad B-17 Bayern Munich sejak Julai lepas.

Lebih menarik, hasrat Celine mendapat restu apabila keluarganya membuat keputusan untuk berhijrah ke Jerman sekali gus membolehkannya menghadiri sesi pemilihan The Bavarians Februari lalu.

Begitu juga dengan Berlin Leong, seorang lagi gadis remaja negara yang membanggakan negara apabila beraksi pada Liga Sepanyol bersama pasukannya, FC Pozuelo B menentang Real Madrid B minggu lalu.

Cerita Berlin Leong mula menjadi buah mulut para peminat tempatan yang meluahkan rasa bangga mereka apatah lagi bapanya, Leong Kok Yin yang mahu anaknya itu diburu oleh kelab-kelab gergasi di Eropah.

Mungkin ramai tidak mengenali Berlin Leong yang pernah menyertai KL CITYBOYS FC dua tahun lepas sebelum mewakili skuad B-19 wanita Malaysia pada Kelayakan AFC B-19 di Hanoi, Vietnam.

Berlin Leong turut mewakili Pulau Pinang dalam pertandingan Piala Tun Sharifah Rodziah tahun lepas sebelum membuat keputusan mewakili Selangor dan layak ke peringkat separuh akhir.

Berlin Leong juga sebahagian daripada skuad yang menyertai pertandingan JENESYS 2018 Jepun, kejohanan B-19 Bola Sepak Wanita ASEAN.

Apa yang bagusnya, kemunculan dua gadis remaja ini mungkin menjadi titik tolak kepada Malaysia untuk melihat gambaran lebih besar tentang bakat serta potensi bola sepak wanita di negara ini.

Sebenarnya, penulis percaya Malaysia bukan hanya memiliki Celine dan Berlin tetapi lebih ramai gadis remaja berbakat di luar sana, cuma belum digilap dan perlukan platform yang sesuai.

Mungkin sudah tiba masanya Malaysia mewujudkan Liga Bola Sepak Wanita supaya menjadi wadah buat pemain dan pasukan wanita bersaing secara kompetitif.

Pada akhirnya, bakat hebat boleh dilahirkan sekali gus diserap ke dalam skuad kebangsaan dan tidak mustahil skuad wanita Malaysia mungkin mendahului Harimau Malaya melangkah ke Piala Dunia seperti apa yang dilakukan skuad bola sepak wanita Thailand.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI