fbpx

Remaja perlu RM35,000 kos bedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MURNI (kanan) menunjukkan tulang belakang anaknya, Shafiyah Laiyinah yang tidak lurus dan membentuk huruf C di rumahnya di Seremban semalam.

SEREMBAN – Seorang ibu tunggal mengharapkan sumbangan orang ramai bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung setelah anak perempuannya yang berusia 15 tahun disahkan menghidap penyakit Skoliosis atau tulang belakang membengkak ke kanan.

Murni Mansor, 47, dari Taman Paroi Jaya di sini, menjelaskan, anaknya, Shafiyah Laiyinah Ishak yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendeta Za’aba menghidap pe­nyakit itu sejak setahun lalu.

“Sebelum ini, anak saya yang keempat juga menghadapi masalah sakit tulang belakang yang sama dan kos pembedahan juga kami terima hasil bantuan daripada orang ramai kerana kami kurang berkemampuan.

“Kini, anak saya yang bongsu pula menerima nasib yang sama dan saya berharap orang ramai dapat memberi bantuan kerana sebanyak RM35,000 diperlukan untuk kos pembedahan dan wad di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pada 16 Mac depan,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, dia yang bekerja sebagai pembantu tukang masak syarikat katering hanya beroleh gaji sebanyak RM1,200 sebulan dan tidak mampu untuk me­ngumpul wang yang diperlukan itu dalam masa dua bulan.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu, perniagaan katering yang diusahakan oleh kakak saya itu tidak menerima tempahan yang banyak. Saya tidak mampu untuk membayar kos pembedahan berkenaan ke­rana menerima gaji hari.

“Anak saya kini, perlu berehat dan menunggu pembedahan membetulkan semula tulang belakangnya yang membentuk seperti huruf C. Doktor memaklumkan mereka akan pasang 14 skru titanium dan dua plat rod pada tulang belakang anak saya bagi membolehkan tulang belakangnya tegak seperti sedia kala,” katanya yang mempunyai lima orang anak berusia 15 hingga 26 tahun.

Murni yang sudah berpisah dengan suaminya sejak 10 tahun lalu menambah, dia turut menjaga ibunya yang sedang uzur.

“Anak sulung dan kedua sudah bekerja. Mereka bantu daripada sudut kewangan untuk mengurangkan beban perbelanjaan untuk menghantar Shafiyah Laiyinah sebulan sekali bagi rawa­tan di PPUKM,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan melalui RHB Bank 11501400056843 di atas nama Murni Mansor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI