TUMPAT – Polis Kelantan sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan gelombang kedua bencana banjir berikutan hujan lebat sehingga menyebabkan paras air sungai mula naik sejak semalam.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Datuk Shafien Mamat berkata, sewaktu banjir gelombang pertama baru-baru ini, polis hanya menggerakkan 40 peratus kelengkapan logistik yang sedia ada.
“Bagaimanapun, kita menjangkakan gelombang kedua ini semakin buruk dan kita akan menggerakkan semua logistik, pegawai dan anggota yang ada untuk membantu mangsa banjir yang terlibat.
“Sekiranya banjir besar, kita akan guna sepenuhnya aset yang ada dan baru-baru ini kita hanya guna separuh sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Taman Angkat Skuad Aman Wanita (Amanita) di Masjid Taman Putra SBJ Putra di sini semalam.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, susulan bencana banjir gelombang kedua di negeri ini, semua cuti pegawai dan anggota juga masih dibekukan sehingga akhir tahun ini. – K! ONLINE.