PETALING JAYA – Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan penganut Kristian mengikuti sesi upacara sembahyang pada 24 dan 25 Disember nanti di kawasan-kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sambutan Hari Krismas seperti kunjung mengunjung hanya dibenarkan pada 25 Disember sahaja.
“Rumah terbuka dan aktiviti ‘Carolling’ dari rumah ke rumah di kawasan PKPP, PKPB dan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan.
“Sambutan Krismas di kawasan PKPD pula mempunyai sedikit kelainan di kawasan PKPP dan PKPB,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Jelasnya, pada 24 Disember upacara sembahyang di PKPP dan PKPB akan diadakan bermula pukul 5 petang hingga 9.30 malam dengan pembahagian dua sesi dan diselangi operasi sanitasi selama 45 minit sebelum sesi baharu dimulakan.
Katanya, pada 25 Disember, upacara sembahyang diadakan bermula pukul 7 pagi hingga 1.45 petang dengan pembahagian tiga sesi sahaja diselangi dengan operasi sanitasi selama 45 minit sebelum sesi baharu dimulakan.
“Bagi sambutan perayaan di Rumah Kediaman Landed dalam kalangan keluarga terdekat perlu tidak melebihi 20 orang pada satu-satu masa.
“Manakala bagi Rumah Kediaman Strata dengan keluasan kurang daripada 1500 kaki persegi (tidak melebihi 10 orang) dan bagi keluasan melebihi 2500 kaki persegi(tidak melebihi 15 orang) pada satu-satu masa manakala bagi aktiviti perniagaan hanya di premis dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan digalakkan perniagaan online,” katanya.
Menurutnya lagi, SOP Krismas dalam kawasan PKPD pula menunjukkan beberapa peraturan yang perlu dipatuhi.
“Sebagai contoh, upacara sembahyang di semua rumah ibadat tidak dibenarkan, aktiviti jualan atau perniagaan juga tidak dibenarkan.
“Sambutan perayaan pula dibenarkan bagi seisi keluarga dalam rumah yang sama sahaja namun aktiviti ziarah di kawasan PKPD tidak dibenarkan,” jelasnya. – K! ONLINE