LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp meluahkan kepuasan selepas menyaksikan pasukannya melakar kemenangan dramatik 2-1 ke atas Tottenham Hotspur di Stadium Anfield awal pagi semalam sekali gus merampas kedudukan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL).
Klopp mengakui, percaturannya dalam perlawanan itu cukup menjadi meskipun mendapat tentangan sengit daripada Spurs yang mempunyai jentera serangan berkualiti seperti Son Heung-min, Harry Kane dan Steven Bergwijn.
“Saya sangat gembira apabila pemain membuktikan mereka boleh kembali mendapatkan momentum sama ketika menjuarai liga musim lepas dengan menjaringkan gol pada minit-minit akhir perlawanan.
“Kemenangan dan kejayaan kembali berada di carta teratas liga musim ini telah menaikkan semangat pasukan dalam usaha meneruskan saingan bagi menghadapi jadual padat bulan ini,” katanya.
Liverpool membuka tirai jaringan pada minit ke-26 menerusi percubaan Mohamed Salah sebelum Heung-min menyamakan kedudukan buat Spurs lapan minit kemudian.
Impian The Reds meraih tiga mata tertunai selepas Roberto Firmino meledak gol kemenangan pada minit ke-90 dalam aksi yang didominasi sepenuhnya oleh Liverpool dengan 76 peratus penguasaan permainan selain memiliki 17 percubaan ke arah gawang Spurs.
“Saya akui bukan mudah buat Firmino selepas menerima kritikan hebat sehingga dibanding-bandingkan dengan pemain baharu, Diogo Jota. Namun, dia telah membuktikan pengaruhnya bersama pasukan cukup besar dalam perlawanan ini.
“Saya langsung tidak terkejut dengan impak daripada Firmino dan saya harap dia dapat kembali menemui sentuhan emasnya bagi merealisasikan objektif pasukan musim ini,” jelas Klopp. – AGENSI