KUALA KRAI – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Krai menghantar seorang imam untuk mengimamkan solat jenazah di Kampung Dusun Ban, Mukim Chenulang di sini hari ini.
Bantuan penghantaran sejauh tiga kilometer itu dilakukan selepas jambatan masuk ke kampung tersebut rosak akibat dinaiki air sungai apabila hujan lebat sejak kelmarin.
Imam mukim Chenulang, Mohd. Tabbarani Mamat berkata, dia dimaklumkan mengenai kematian Mohamad Zain Ismail, 68, di mukimnya lebih kurang pukul 10 pagi dan pengebumian akan dijalankan selepas solat asar.
“Selesai solat asar, saya segera untuk mendapatkan bot untuk pergi ke Kampung Dusun Ban di seberang sungai kerana laluan utama terputus akibat banjir.
“Bagaimanapun, keadaan air sungai yang deras menyebabkan bot kecil penduduk kampung tidak boleh melalui kawasan itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, sewaktu sedang buntu memikirkan jalan penyelesaian untuk ke kampung itu, empat orang anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah datang untuk menawarkan bantuan.
Sementara itu, anak arwah, Norhayati Mohamad Zain, 31, berkata ayahnya meninggal dunia pada pukul 9.30 pagi akibat lumpuh pada bahagian kaki dan penyakit kencing manis.
“Keadaan hujan yang tidak berhenti menyebabkan jalan untuk keluar dari kampung terputus. Keadaan itu juga menyebabkan kami tidak dapat bawa keluar ayah ketika dia sedang nazak.
“Kematian arwah ayah telah disahkan oleh doktor yang dibawa dengan menaiki bot oleh APM Kuala krai,” katanya.
Menurut Norhayati, arwah ayahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islan Kampung Pasir Jering pada pukul 5 petang tadi.-K!ONLINE