fbpx

‘Gay is OK! A Christian Perspective’ dan ‘Peichi’ dikenakan Perintah Larangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah satu penerbitan bertajuk 'Gay is OK! A Christian Perspective' yang dikenakan Perintah Larangan oleh KDN.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap dua buah penerbitan bertajuk ‘Gay is OK! A Christian Perspective’ dan ‘Peichi’ berikutan terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, kemoralan dan kepentingan awam.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, Perintah Larangan penerbitan ‘Gay is OK! A Christian Perspective’ dibuat melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 340 bertarikh 27 November lalu manakala ‘Peichi’ melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 355 bertarikh 15 Disember lalu.

Beliau berkata, kandungan penerbitan bertajuk ‘Gay is OK! A Christian Perspective’ yang dilihat cuba mempromosikan budaya homoseksual di Malaysia adalah melanggar sensitiviti agama dan budaya di negara ini.

“Amalan hidup songsang adalah jelas dilarang dan bertentangan dengan semua ajaran agama termasuk Islam, Kristian, Buddha dan Hindu.

“Penerbitan bertajuk ‘Peichi’ pula memuatkan kandungan berunsur lucah dan tidak bermoral yang bertentangan dengan nilai-nilai budaya dan norma hidup masyarakat Malaysia yang amat menitikberatkan kesopanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Ahmad Dahlan berkata, warta Perintah Larangan itu adalah mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan adalah dilarang secara mutlak di Malaysia. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI