BARCELONA – Gergasi Sepanyol, Barcelona kembali membuktikan status sebagai pasukan pilihan menjuarai gelaran La Liga musim ini selepas menewaskan pendahulu, Real Sociedad 2-1 di Stadium Camp Nou awal pagi semalam.
Tiga mata berharga itu berjaya melonjakkan The Catalan ke tangga kelima menerusi 20 mata dan cuma ketinggalan enam mata dengan juara bertahan, Real Madrid yang kini muncul pendahulu baharu La Liga.
Lebih menarik, Barcelona berpeluang memintas Sociedad yang jatuh ke tangga kedua dan mungkin juga Real di kedudukan pertama berdasarkan kelebihan dua perlawanan dalam tangan dimiliki bekas juara La Liga 26 kali itu.
Ketua jurulatih Barcelona, Ronald Koeman menjelaskan, kemenangan itu membuktikan kebangkitan prestasi dan semangat juang tinggi ditunjukkan anak-anak buahnya yang kini sudah berjaya mencatat dua kemenangan berturut-turut.
“Kalau pemain terus bermain dengan intensiti perlawanan sebegini, tidak mustahil kami akan kembali ke kedudukan yang sebenar. Saya gembira dengan keseluruhan persembahan ditunjukkan dari mula hingga tamat permainan.
“Bagaimanapun, saya akui kami tidak boleh mengawal sepenuhnya 90 minit permainan. Namun, pemain telah membuktikan kesungguhan mereka dan saya menganggap inilah perlawanan terbaik kami dalam tahun ini,” katanya.
Walaupun Sociedad terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi William Jose pada minit ke-27 tetapi ia langsung tidak mematahkan semangat barisan pemain Barcelona.
Ia terbukti apabila Barcelona bangkit dengan dua gol melalui Jordi Alba dan Frenkie De Jong masing-masing pada minit ke-31 serta 43 selain berjaya mendominasi 54 peratus permainan. – AGENSI