fbpx

Bahagia di alam maya, derita di dunia nyata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MOHAMMAD SHAHEMY AZMI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

SEORANG rakan penulis telah meluahkan isi hatinya baru-baru ini dengan mengatakan bahawa hidupnya terasa sunyi dan kosong.

Penulis tidak percaya kerana setiap hari penulis melihat perkongsian aktivitinya dalam laman sosial bukan seperti apa yang dia katakan.

Setiap hari ada sahaja akti­viti menarik yang dia kongsikan di media sosial seperti keluar bersama kawan-kawan, membeli-belah barangan jenama mewah dan makan di tempat-tempat menarik.

Kalau orang lain melihatnya, pasti mereka akan berkata, kehidupan kawan penulis itu sa­ngat menyeronokan kerana dikelilingi rakan-rakan dan sentiasa gembira.

Bagaimanapun, luahan ha­tinya kepada penulis adalah sebaliknya.

Katanya, kadangkala dia murung dan seolah-olah menipu diri sendiri dengan mencipta rasa gembira di laman sosial.

Sebenarnya memang wujud segelintir individu sebegitu.

Tujuan mereka bukan untuk meraih perhatian, tetapi mereka sebenarnya sedang bergelut dengan ‘perang’ psikologi untuk menggembirakan hati sendiri.

Menurut Naib Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Dr. Shazli Ezzat Ghazali berkata, setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam hidup mereka.

“Masing-masing dalam dunia ini ingin nampak hebat, nak nampak terbaik dan bahagia.

“Apabila seseorang itu hendak menunjukkan bahawa kononnya dia bahagia, mereka akan gunakan media sosial untuk menonjolkan kebahagian itu walaupun realiti, ia sebaliknya,” ujar Shazli.

Menurut Shazli, terdapat empat mekanisme bela diri yang selalunya digunakan seseorang untuk menutup kelemahan diri mereka.

Salah satunya ialah projeksi iaitu melindungi keinginan yang tidak dapat dipenuhi dengan menggunakan cara penonjolan untuk menenangkan dirinya.

“Mekanisme seterusnya ialah pembentukan reaksi iaitu menonjolkan sikap bertentangan dengan apa yang seseorang itu pendam.

“Seterusnya ialah meka­nisme penafian iaitu menafikan diri mereka mempunyai masalah dengan cara memberi gambaran keindahan dalam media sosial,” katanya.

Sementara mekanisme terakhir ialah regrasi (regret) iaitu melepaskan tekanan yang menjadi punca masalah kepada tingkah laku di bawah ruang lingkupnya.

Sebagai contoh, jika seseorang itu tidak dapat bersosial, dia akan menangis terutamanya jika mereka berada dalam keadaan bersendirian.

Kesemua mekanisme yang disebutkan adalah kaedah yang mereka gunakan untuk menjaga ego diri sendiri.

Justeru, untuk keluar daripada masalah yang mereka hadapi, seseorang itu perlu berfikiran lebih rasional dan intelektual dengan menerima realiti ke­adaan serta kehidupan sebenar yang mereka lalui.

“Individu tersebut perlu ada semangat untuk bangkit dan usah berselindung dengan pe­rasaan yang mereka rasai,” ujar Shazli.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI