PARIT BUNTAR – Tindakan seorang kontraktor membuang beduk, tikar dan al-Quran dari sebuah surau ke dalam parit berhampiran di Parit Haji Samsuri, Kuala Kurau di sini baru-baru ini dilakukannya selepas dihalang menebang sebatang pokok kelapa yang didakwa ada lembaga.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, sehari sebelum kejadian, lelaki itu datang ke rumahnya di Parit Haji Samsuri untuk tumpang bermalam.
“Selepas Subuh pada hari kejadian, dia memberitahu saya mahu menebang pokok kelapa di depan rumah kerana melihat satu lembaga di atasnya, namun saya menghalang.
“Tak sangka pula dia bertindak di luar batasan apabila menoreh beduk sebuah surau di sini dan membuangnya di parit berhampiran bersama helaian al-Quran serta tikar,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Dakwanya, lelaki tersebut turut mengambil racun sawah penduduk dan membuangnya ke dalam parit sehingga menyebabkan banyak ikan mati.
Susulan kejadian itu, penduduk bergotong-royong membersihkan tikar surau dan beduk yang dibuang lelaki terbabit, manakala cebisan helaian al-Quran diserahkan kepada pihak berwajib untuk pelupusan.
Kosmo! semalam melaporkan, seorang kontraktor ditahan selepas dipercayai melakukan perbuatan khianat dengan membuang beduk dan al-Quran ke dalam parit pada Isnin lalu.
Kejadian disedari penduduk pukul 7.30 pagi selepas mendapati pelbagai barangan di Surau Al-Rahman, Parit Haji Samsuri itu hilang sebelum dijumpai di dalam parit berhampiran.
Suspek mengaku berbuat demikian bagi mengelak fenomena bencana alam di kawasan itu.