fbpx

[VIDEO] Amah Indonesia cederakan anak majikan didenda RM5,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Meriyana, didenda RM5,000 atau dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Klang hari ini kerana mencederakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun, dua minggu lalu. FOTO: ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – “Saya tiada niat buat budak itu terjatuh dan mencederakannya,”

Demikian rayuan seorang amah warga Indonesia, Meriyana Meko, 23, sebelum dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar selepas didapati bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Razali Ariffin turut mengenakan tertuduh bon berkelakuan baik dengan penjamin warga Malaysia dan jaminan RM5,000. Sekiranya gagal boleh dipenjarakan setahun dari tarikh hukuman dijatuhkan hari ini.

Terdahulu, Meriyana yang tidak diwakili peguam itu mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan fizikal iaitu lebam di bahagian dahi terhadap seorang kanak-kanak lelaki.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Jalan Kapar, Taman Mewah di antara pukul 6 petang hingga 6.30 petang pada 3 Disember lalu.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Sebagai tambahan kepada Subseksyen (1) turut memerintahkan orang yang disabitkan kesalahan menyempurnakan suatu bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama tempoh difikirkan patut oleh mahkamah.

Berdasarkan perenggan (2) (b), khidmat masyarakat sehingga 240 jam secara berperingkat dan dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi enam bulan daripada tarikh diperintahkan serta tertakluk kepada apa-apa syarat dinyatakan mahkamah.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar memohon hukuman berat dikenakan kepada tertuduh berikutan kepentingan awam serta kesalahan serius melibatkan kanak-kanak dengan Parlimen sebelum ini telah membuat pindaan berhubung akta tersebut.

“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) jelas menunjukkan tertuduh menendang meja yang ketika itu, kanak-kanak itu ada di atas meja tersebut.

“Sebagai pembantu yang diberikan amanah menjaga anak-anak majikannya namun tertuduh tidak melaksanakan dan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan di bahagian kepala yang menjadi organ penting,” jelasnya.

Kosmo! pada 5 Disember lalu melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun cedera pada dahi apabila tersembam di lantai selepas pembantu rumah bertindak menendang meja tempatnya bermain di rumahnya di Aman Perdana di sini.

Kejadian berlaku pukul 6.30 petang ketika amah berusia 23 tahun ingin menyapu lantai di kawasan ruang tamu.- K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI