fbpx

90 keluarga Orang Asli Bateq terputus hubungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Orang Asli Bateq di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, Gua Musang terperangkap apabila jambatan menghubungkan kampung mereka tenggelam selepas air Sungai Lebir naik mendadak.

GUA MUSANG – Hujan berterusan sejak dua hari lalu menyebabkan sebuah jambatan merentasi Sungai Lebir di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir di sini tenggelam dan ditutup kepada semua kenderaan.

Hampir 500 penduduk Orang Asli Bateq melibatkan 90 keluarga di perkampungan itu terputus hubungan selepas air sungai naik melimpahi jambatan sejak pukul 11 pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Sik Choon Foo berkata, sejak pukul 4 petang tadi, air Sungai Lebir menunjukkan peningkatan sehingga menutup jambatan utama kampung itu.

Katanya, ketika ini penduduk tidak dapat keluar ke bandar Gua Musang atau Kuala Krai dan hanya boleh menyeberangi sungai menggunakan perahu.

“Bagaimanapun, kampung Orang Asli Bateq itu masih selamat daripada banjir kerana tiada rumah yang dinaiki air.

“Orang Asli di sana terperangkap buat kali ketiga dalam tempoh sebulan ini kerana limpahan air Sungai Lebir akibat hujan berterusan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Menurut Choon Foo, beliau memuji sikap penduduk Orang Asli di kampung itu apabila membina bangsal di atas bukit sebagai tempat pemindahan sementara ketika banjir.

Katanya, beliau berharap agar Orang Asli berwaspada dan segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya berlaku kecemasan di kampung itu.

“Kawasan sekolah dan sebahagian rumah penduduk berada di kawasan rendah.Apabila air semakin tinggi mereka akan menyelamatkan diri ke atas bukit tinggi di kampung mereka.

“Saya meminta penduduk di kawasan rendah khususnya Kampung Limau Kasturi supaya berwaspada dengan kenaikan paras air Sungai Galas,” katanya.

Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan banjir bakal berlaku mulai jam 10 malam di Gua Musang dan Kuala Krai berikutan kenaikan paras air di Sungai Galas, Sungai Nal dan Sungai Pahi disebabkan hujan lebat.

Di Gua Musang khususnya, kawasan yang terbabit adalah Kampung Limau Kasturi dan kawasan sekitarnya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI