fbpx

K2

Warung Tenang penuhi cita rasa pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. FAKRI (kanan) dan isterinya Noor Asyikin menyediakan hidangan untuk para pelanggan.

SESIAPA sahaja yang singgah ke kedai makan ini tentu diulit ketenangan menikmati hidangan lazat yang disediakan sesuai dengan namanya, Warung Tenang.

Menjadi restoran pilihan bagi penduduk sekitar Bukit Changgang, Dengkil, Selangor, Warung
Tenang yang diusahakan sepasang suami isteri sejak tiga tahun lalu menyajikan menu-menu berkonsepkan ala kampung namun kenikmatannya boleh dikatakan bertaraf hotel.

Antara menu yang menjadi pilihan ramai di Warung Tenang ialah nasi goreng kambing, nasi goreng petai, set talam ayam atau kambing, set ramen bebola daging dan kuetiau goreng, bahkan menu ikoniknya iaitu lempeng pasti menggamit suasana kampung.

Menu bagaimanapun akan disediakan mengikut cita rasa pelanggan. Sebagai contoh, jika pelanggan mahukan nasi goreng petai bersama kambing, pemilik, Mohd. Fakri Md. Said 35, yang merupakan tukang masak akan menyediakannya mengikut selera pelanggannya itu.

Menurut Mohd. Fakri, dia mengibaratkan bidang masakan itu sebagai satu ibadah.
“Selagi kita dapat menggembirakan pelanggan dengan masakan, ia sudah cukup bagi diri saya,” katanya kepada K2.

Mohd. Fakri berkata, ketika mula-mula berniaga dahulu, dia hanya menjual lempeng namun melihat kepada permintaan ramai, dia memperbanyakkan menu supaya pelanggan dapat menikmati aneka hidangan.

 

ANTARA menu yang ditawarkan di Warung Tenang yang menjadi kegemaran ramai.

 

“Daripada situlah, terciptanya kepelbagaian menu dan kebanyakan resipi saya diolah dengan cara tersendiri.

“Ini kerana bagi saya memasak ini perlu daripada hati supaya pelanggan dapat betul-betul menikmati hidangan,” katanya.

Dia mengakui sesetengah pelanggan mungkin skeptikal kerana menu-menu di warung itu kedengaran biasa sahaja serta tidak banyak bezanya dengan peniaga lain.

Namun katanya, menu-menu di Warung Tenang menjanjikan kelainan terutamanya dari segi bahan ramuan yang digunakan pada setiap hidangan dan sajian.

“Seperti penghasilan perapan, saya menggunakan bahan-bahan premium sahaja bagi menaikkan aroma dalam masakan. Malah, kuah lada hitam adalah resipi sendiri dan bukan sos segera.

“Ada satu ketika, saya tidak menang tangan apabila menerima banyak pesanan makanan sehinggakan pelanggan terpaksa beratur.

“Bagi saya, ia suatu penghormatan apabila pelanggan sanggup datang beratur untuk menikmati hidangan dan sajian di Warung Tenang,” katanya.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata, semua usaha tersebut tidak akan berhasil tanpa sokongan ‘orang kuat’ iaitu isterinya, Noor Asyikin Ngaderan 36, yang turut sama membantu.

Bercerita lanjut, kata Mohd. Fakri, pengalamannya berniaga bukan sesuatu yang baharu kerana orang tuanya juga adalah peniaga.

 

LEMPENG menggamit suasana kampung.

 

“Pengalaman diambil daripada situ, dan akhirnya saya membuka kedai sendiri kerana minat terhadap dunia masakan.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat baik dan perniagaan berjalan seperti biasa namun masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Mohd. Fakri berkata, dalam jangka masa panjang, dia mengimpikan untuk memperbanyakkan lagi menu berasaskan tom yam.

“Saya merancang dalam masa dua tahun ini, menu di warung ini turut dipelbagaikan dengan sajian seperti tom yam atau ikan siakap tiga rasa melihat kepada sambutan pelanggan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI