KUALA LUMPUR – Gojo bakal bekerjasama dengan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) untuk memudahkan urusan pengangkutan bagi pelancong dengan menggunakan kenderaan e-hailing.
Pengarah dan Ketua Pegawai Operasi Gojo, Pradeep Kumar berkata, melalui usaha sama tersebut, syarikat pengangkutan pelancongan akan dibawa ke platform e-hailing Gojo untuk menerima tempahan perjalanan berdasarkan permintaan.
“Usaha sama ini dijangka dapat membantu menambah pendapatan mereka.
“Semua pemandu kenderaan pelancongan juga layak menyertai program Gojo Founder’s Fund iaitu program pembahagian keuntungan yang direka untuk melindungi kehidupan pemandu dalam keadaan sukar ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena pemeteraian memorandum persefahaman antara Gojo Dengan Matta baru-baru ini.
Turut hadir Pengarah Gojo, Shaharul Bahrin Nahruddin dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Menurut Pradeep, melalui teknologi mobiliti canggih, pemandu Matta akan mendapat akses kepada ciri pintar yang melindungi kesihatan dan keselamatan mereka di jalan raya terutamanya semasa pandemik Covid-19.
Teknologi Pengenalan Muka Gojo akan dapat mengesan sama ada pemandu memakai topeng muka sebelum menerima tempahan dan ciri Nota Suara Gojo pula akan membolehkan pemandu berkomunikasi secara bebas tangan dengan pelanggan.