fbpx

Tiba masanya ahli politik buat kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad ketika membentangkan Belanjawan 2021 Perak pada sidang DUN Perak di Bangunan Darul Ridzuan, Ipoh semalam.
MUHAMAD TARMIZE MOHD. NOR
WAKIL KOSMO! PERAK

POLITIK Perak tidak pernah sunyi daripada menimbulkan sesuatu luar biasa.

Sekiranya luar biasa itu sesuatu yang baik seperti pencapaian yang boleh dibanggakan, kita boleh menerimanya, namun luar biasa pula yang timbul dan boleh dikatakan merugikan kita sebagai rakyat marhain.

Apa tidaknya ketika rakyat, petugas kesihatan sedang berperang untuk mela­n­­daikan penularan Covid-19 serta hilang pendapatan, masih ada sesetengah pihak yang sibuk dengan politik.

Pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Oktober lalu, temponya dilihat agak tenang berikutan tiada provokasi dan kekecohan daripada pihak pembangkang.

Perkara itu agak janggal memandangkan sidang DUN Perak kebiasaannya hangat dengan pelbagai isu yang dibangkitkan.

Mungkin ia berjalan dengan tenang dan lancar kerana akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan ahli-ahli politik untuk menghentikan segera politiking yang boleh mengganggu kestabilan negara.

Titah Seri Paduka Baginda itu bagaimanapun hanya bertahan seketika.

Perak kembali menjadi bual­an ramai apabila sidang DUN yang bermula 4 Disember lalu bertukar kecoh dan apa yang lebih luar biasa, ia dibangkitkan oleh pihak kerajaan sendiri.

Agak luar biasa dan sesuatu di luar jangkaan walaupun ura-ura mengenai pertukaran Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sudah berbunyi agak lama sejak hari pertama beliau dilantik pada Mei 2018 dan sekali lagi pada Mac lalu.

Pada 2018, jawatan yang dipegang Ahmad Faizal sering menarik perhatian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (Exco) sendiri, manakala pada akhir suku pertama tahun ini, kedengaran jawatan itu mahu diambil oleh parti yang mempu­nyai majoriti, namun dinafikan pada waktu itu.

Khabar angin yang bertiup kencang itu akhirnya berlaku pada sidang DUN kali ini yang masih tertangguh akibat pembentukan kerajaan baharu walaupun mengekalkan kerjasama dengan parti-parti yang sama sebelum ini.

Ketika artikel ini ditulis, kerajaan Perak hanya dipimpin Menteri Besar dan lima Exco sahaja yang pelantikan mereka diper­kenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Khamis lalu.

Lima lagi jawatan Exco masih menjadi tanda tanya dan diperdebatkan oleh orang-orang politik.

Sepatutnya wakil rakyat daripada pihak kerajaan dan pembangkang melupakan seketika segala berkaitan politik terma­suk politik kuasa dan memberi fokus kepada kebajikan rakyat lebih-lebih lagi Belanjawan 2021 kerajaan negeri baru dibentangkan semalam.

Belanjawan 2021 dijadualkan dibentangkan Menteri Besar pada 4 Disember lalu, namun tertangguh apabila usul undi percaya terhadap Ahmad Faizal tidak mendapat sokongan majoriti sekali gus menyebabkan beliau bertindak meletakkan jawatannya pada 5 Disember lalu.

Kepada ahli politik, cukup-cukuplah berpolitik. Sudah tiba masa anda bekerja untuk rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI