Pakistan luluskan undang-undang antirogol baharu
ISLAMABAD – Presiden Pakistan kelmarin meluluskan satu undang-undang antirogol baharu yang akan mempercepatkan proses mahkamah menjatuhkan hukuman dan melancarkan pendaftar pesalah seks kebangsaan yang pertama di negara itu.
Pengenalan undang-undang berkenaan dibuat selepas kejadian malang seorang ibu dirogol secara berkumpulan di hadapan anak-anaknya di tepi sebuah lebuh raya pada September lalu.
Bagaimanapun, undang-undang yang akan berkuat kuasa serta-merta itu perlu mendapatkan kelulusan daripada Parlimen dalam tempoh tiga bulan.
Kes rogol itu mencetuskan kemarahan orang ramai dan mendorong banyak bantahan di seluruh negara dengan kumpulan aktivis mendesak agar kerajaan mengambil langkah tambahan untuk menghentikan keganasan terhadap wanita.
Sukar dapat keadilan
Jenayah seks seperti rogol membawa stigma sosial buruk di Pakistan dengan kebanyakan mangsa merasakan mereka sukar untuk mendapatkan keadilan.
“Ordinan ini akan bantu mempercepatkan kes-kes penderaan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak,” menurut satu kenyataan daripada Pejabat Presiden Arif Alvi kelmarin.
Di bawah undang-undang baharu yang diusahakan oleh Perdana Menteri, Imran Khan, ia mengarahkan penubuhan mahkamah khas untuk mengendalikan kes-kes rogol dan penderaan seksual ke atas kanak-kanak dan wanita serta perlu selesai dalam tempoh empat bulan.
Ordinan itu melarang proses identifikasi mangsa-mangsa rogol dan menubuhkan satu pendaftar pesalah rogol kebangsaan.
Ia juga akan menyaksikan penubuhan bilik krisis antirogol di seluruh negara untuk menjalankan siasatan awal dan pemeriksaan kesihatan dalam tempoh enam jam selepas laporan polis dibuat.
Ujian dua jari
Undang-undang sama juga akan memansuhkan pemeriksaan kesihatan keterlaluan iaitu ujian dua jari untuk menentukan tahap dara mangsa rogol.
Ujian itu memerlukan seorang pegawai perubatan memasukkan dua jari ke dalam vagina mangsa rogol untuk memeriksa sejarah hubungan seksual mereka.
Menurut data yang dibekalkan oleh kerajaan pada tahun ini mendapati, sebanyak 11 kes rogol dilaporkan berlaku pada setiap hari di Pakistan, dengan pihak berkuasa mengakui jumlah sebenar adalah lebih tinggi daripada apa yang dilaporkan.
Kebanyakan mangsa rogol atau penderaan seksual di Pakistan jarang bercakap mengenai kejadian yang menimpa mereka atau aduan jenayah lazimnya tidak disiasat secara serius.
Berhubung kes ibu dirogol di tepi lebuh raya itu, seorang pegawai polis dikatakan menyalahkan mangsa kerana dia keluar memandu pada waktu malam tanpa peneman lelaki.
Perdana menteri kemudiannya meminta teknik memandulkan secara perubatan dilakukan ke atas perogol, termasuk menggunakan ubat-ubatan untuk mengurangkan syahwat seseorang pesalah. – AFP