fbpx

Misi mencari kalendar kuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
DALIZA ARIFFIN, PENOLONG PENGARANG BERITA

Salah satu kenangan manis setiap kali tibanya bulan Disember ialah apabila arwah bapa membawa pulang kalendar lumba kuda untuk digantung di sudut strategik di antara ruang dapur dan meja makan di rumah pusaka.

Selalunya kalendar gantung itu diberi oleh pemilik kedai runcit atau restoran kepada pelanggan setia.

Sebaik kalendar digantung, kami adik-beradik akan menyelak satu demi satu helaian kalendar bulanan tersebut dan melihat tarikh penting pada tahun berkenaan seperti cuti sekolah, awal Ramadan, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha serta cuti umum yang lain.

Ini kerana, pada setiap helaian muka surat kalendar iaitu dari tarikh 1 hari bulan hingga 30 atau 31 hari bulan, petaknya disusun secara menegak dengan judul nama bulan dalam takwim Masihi dan Hijrah yang mudah dirujuk.

Bagi petak Sabtu dan Ahad pula diisi gambar kuda selain petak cuti umum dihiasi dengan gambar perayaan serta bendera negeri untuk hari keputeraan raja.

Rekaannya yang mesra pengguna bagi semua peringkat umur itu menjadikan kalendar tersebut sebagai rujukan utama bagi sesebuah keluarga menetapkan tarikh penting seperti kenduri.

Pastinya banyak memori masyarakat Malaysia dengan kalendar kuda tersebut kerana penggunaan kalendar yang berwarna-warni itu begitu popular sejak zaman datuk nenek moyang kita.

Lebih manis lagi, di kalender itulah ibu bapa kita membuat catitan tertentu untuk mengingatkan mereka tentang tarikh penting meraikan anak-anaknya termasuk hari lahir, konvokesyen, pertunangan dan hari terima menantu.

Secara jujurnya, sehingga kini, penulis masih menggunakan kalendar kuda itu untuk berbincang bersama keluarga termasuk anak-anak khusus untuk menetapkan tarikh bercuti atau balik ke kampung.

Perubahan gaya hidup, ledakan perkembangan teknologi maklumat yang boleh didapati di hujung jari pada masa kini tidak langsung menggugat kesetiaan pengguna terhadap kalendar kuda ini.

Malah, kalendar itu yang telah diubah suai dengan konsep Islamik dan boleh dimuat turun dalam telefon mudah alih pengguna, ia masih lagi dicari sekumpulan peminatnya hingga kini.

Ia tidak dijual secara besar-besaran di pasaran semasa tetapi masih dicetak, mungkin dalam bilangan yang terhad untuk dijadikan sebagai cenderahati oleh syarikat korporat kepada pelanggan dengan konsep siapa cepat dia dapat.

Tidak kira kalendar kuda, kalendar meja atau diari yang digunakan untuk mengingati tarikh penting, yang pasti masa kini berlalu terlalu pantas.

Umur juga semakin bertambah seiring perubahan tahap kesihatan yang mana memberi peringatan bermakna untuk membuat lebih persediaan menghadapi hari ‘senior’.

Mungkin pada tahun 2020, membawa banyak norma baharu, cabaran dan dugaan yang tidak terfikir dek akal fikiran yang normal, tetapi di sebaliknya tersirat satu rahmat untuk menguji hambaNya yang semakin alpa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI