LANGKAWI – Jumlah pelancong yang berkunjung ke Langkawi pada tahun ini sehingga Oktober lalu hanya 1.5 juta orang.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Dr. Hezri Adnan berkata, jumlah kemasukan pelancong tersebut adalah kecil berbanding jumlah pelancong yang dicatatkan sepanjang tahun lalu iaitu seramai 3.9 juta orang.
Katanya, statistik itu sekali gus menyebabkan sasaran kemasukan lima juta pelancong ke pulau perangingan tersebut pada tahun ini sempena kempen Tahun Melawat Malaysia gagal dicapai.
“Keadaan ini berlaku disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang mana pintu masuk negara ditutup selain larangan rentas negeri yang dilaksanakan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan pelitup muka, pembasmi kuman dan kain rentang norma baharu kepada Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Darussalam, Kampung Nyior Chabang di sini hari ini. – K! ONLINE