PETALING JAYA – Unjuran hasil cukai pendapatan individu sebanyak RM42 bilion dan cukai pendapatan korporat RM65 bilion dibuat berdasarkan jangkaan pasaran semasa tahun 2021.
Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd. Shahar Abdullah berkata, unjuran oleh kerajaan itu bukan sesuatu yang tidak realistik atau terlalu optimis.
“Kita mengunjurkan kadar pekerjaan adalah tinggi bagi tahun depan sebanyak 1.8 peratus dan kadar pengangguran menurun daripada 4.2 kepada 3.5 peratus.
“Perkara-perkara ini yang kita ambil kira dalam menentukan banjaran baru cukai sebanyak 30 peratus bagi cukai pendapatan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Wong Chen (PKR-Subang) sama ada Menteri Kewangan akan menyemak semula semula unjuran hasil cukai pendapatan 2021 yang didakwa tidak realistik. -K! ONLINE