MANCHESTER – Manchester United masih dianggap antara pasukan pilihan untuk menjuarai kejuaraan Liga Europa meskipun berdepan tugas sukar selepas diundi bertemu pendahulu La Liga, Real Sociedad dalam pusingan 32 terbaik pada 19 Februari depan.
Bekas pemain tengah The Red Devils, Owen Hargreaves menyifatkan, skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu sebenarnya mempunyai kemampuan untuk melakukannya berdasarkan kejayaan mereka mara ke pentas separuh akhir Liga Europa musim lalu.
Bagi Hargreaves, inilah waktu terbaik untuk United membuktikan status sebenar pasukan itu sekali gus melenyapkan segala kritikan ekoran tersingkir daripada meneruskan kemaraan pada peringkat kalah mati Liga Juara-Juara musim ini.
“Sudah tentu pemain kecewa tidak dapat beraksi dalam saingan kalah mati Liga Juara-Juara tetapi setidak-tidaknya mereka masih berpeluang untuk menjuarai salah satu kejuaraan yang dipertandingkan di Eropah seperti Liga Europa.
“Berdasarkan skuad sedia ada, saya merasakan United mampu memenangi gelaran Liga Europa. Inilah peluang terbaik yang tidak sepatutnya disia-siakan sekali lagi oleh United,” katanya.
Bekas bintang Bayern Munich dan Manchester City itu juga mengakui, peluang United cerah jika berjaya ‘merantai’ pergerakan bintang Sociedad, David Silva di Stadium Anoeta nanti sebelum aksi timbal balik di Old Trafford pada 26 Februari depan.
Sebagai rekod, United pernah menjulang gelaran Liga Europa ketika dibawah bimbingan Jose Mourinho pada musim 2016/2017. – AGENSI