fbpx

K2

Tapaw bantu beli keperluan ibu bapa jauh di mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TAPAW merupakan aplikasi terbaharu yang turut membantu anak-anak di kota untuk menyediakan barangan-barangan yang diperlukan ibu bapa di kampung biarpun tidak dapat pulang berikutan pandemik.

PANDEMIK Covid-19 yang melanda dunia ternyata memberi kesan besar terhadap beberapa industri sehingga ada usahawan yang terpaksa menutup operasi perniagaan mereka.

Pelancongan merupakan salah satu industri yang terkesan akibat pandemik ini yang mana kedatangan pelancong berkurang setelah pintu sempadan negara masih ditutup.

Menyedari bahawa industri pelancongan memerlukan masa untuk kembali pulih telah mendorong Datuk Anuar A. Rahman yang merupakan salah seorang pemain industri itu menceburi bidang perniagaan baharu.

Anuar mengambil keputusan menceburkan diri dalam bidang penghantaran barangan dan makanan dengan membangunkan aplikasi Tapaw.

“Industri penghantaran ini amat berpotensi besar. Walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19, ia masih mampu bertahan dan atas sebab itu saya mengambil keputusan untuk membangunkan aplikasi ini.

“Saya menyedari banyak syarikat turut membangunkan model perniagaan yang sama tetapi konsep yang kami gunakan adalah berbeza. Syarikat lain lebih menumpukan kepada penghantaran di kawasan bandar manakala kami cuba menerokai kawasan luar bandar,” jelasnya.

Walaupun baru sahaja dibangunkan, aplikasi itu kini telah mempunyai lebih 43,000 rakan penghantar yang sudah berdaftar.

Tapaw menggunakan pelbagai jenis kenderaan untuk penghantaran seperti motosikal, kereta, van dan lori.

Dalam pada itu, Anuar menegaskan, aplikasi itu dibangunkan sepenuhnya oleh tenaga tempatan dan ia bukanlah templat yang dibeli dari luar.

“Saya yakin tenaga tempatan boleh membangunkan aplikasi ini dan apa yang penting kita harus memberi ruang dan peluang kepada mereka.

“Aplikasi yang dibangunkan juga mesra pengguna dan dengan beberapa sentuhan pengguna boleh memesan pesanan untuk rakan penghantar kami menghantar barangan mereka,” jelas lelaki berasal dari Perlis itu.

 

DARIPADA pemain industri pelancongan, Anuar beralih kepada perniagaan penghantaran.

 

Tapaw mempunyai enam segmen penghantaran antaranya barangan, makanan, bahan basah, barangan runcit dan lain-lain lagi.

Aplikasi itu boleh dimuat turun ke peranti pintar melalui platform Google Play dan AppStore.

Anuar menegaskan, anak-anak yang tinggal di bandar boleh menggunakan aplikasi itu untuk membeli barangan keperluan untuk dihantar kepada ibu bapa mereka di kampung.

“Sebagai contoh saya tinggal di Shah Alam, Selangor dan dalam masa yang sama ingin membeli barangan keperluan seperti ikan atau sayur untuk ibu bapa di Perlis.

“Saya hanya memerlukan membuat pesanan melalui aplikasi ini dan rakan penghantar akan pergi mengambilnya di pasar atau kedai di kampung yang turut berdaftar dengan aplikasi ini lalu barangan itu akan dihantar kepada ibu bapa saya,” jelasnya.

Umum mengetahui bahawa pandemik Covid-19 ini telah menyebabkan ramai hilang pekerjaan dan mereka memerlukan kerja untuk menjana pendapatan.

Peluang pekerjaan

Dengan adanya aplikasi Tapaw, Anuar menegaskan ia membuka peluang pekerjaan bagi mereka yang memerlukan.

“Kami menyasarkan lagi 100,000 rakan penghantar berdaftar dengan kami. Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, mereka boleh menggunakan peluang ini untuk menjana pendapatan.

“Walaupun mereka pulang untuk tinggal di kampung mereka masih boleh menjadi rakan penghantar kami kerana kami juga menerokai kawasan-kawasan luar bandar yang jarang dimasuki syarikat lain,” ujarnya.

Tapaw juga akan memperkasakan usahawan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan membantu mendigitalisasikan perniagaan mereka dengan menggunakan aplikasi tersebut.

Pengusaha PKS di kawasan luar bandar akan didedahkan dengan penggunaan aplikasi itu bagi membolehkan produk mereka dipasarkan dengan lebih baik.

“Sebagai contoh pengusaha makanan, penjual buahan dan lain-lain lagi, mereka boleh bersama menggunakan aplikasi ini. Melalui aplikasi ini, mereka tidak perlu memikirkan masalah penghantaran kerana rakan penghantar kami akan menghantar produk-produk mereka kepada pelanggan,” jelas Anuar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI