fbpx

Sasar pelajar sekolah beli rokok seludup, dua dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Afzanizar (kanan) menunjukkan rokok seludup yang dirampas.

MELAKA – Polis menahan dua lelaki selepas dikesan menyasarkan pelajar sekolah dan remaja bawah umur untuk membeli rokok seludup menggunakan kod isyarat dalam serbuan di Plaza Sungai Udang, pada minggu lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 11.15 malam itu, kedua-dua lelaki yang ditahan masing-masing berusia 27 dan 32 tahun merupakan pemilik premis kedai runcit serta pasar mini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pemeriksaan lanjut premis berkenaan menjumpai 407 kotak rokok tidak bercukai jenama berbeza bernilai RM6,140.

“Bertindak atas aduan orang awam dan hasil risikan, pasukan kita telah menyerbu dua buah premis yang dikesan menjual rokok seludup secara aktif sejak tiga tahun lalu pada 10 Disember lalu.

“Kedua-dua premis ini menyasarkan penjualan rokok seludup kepada pelajar sekolah serta penduduk sekitar dengan menggunakan bahasa isyarat atau kod tertentu untuk membeli rokok terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, bekalan rokok seludup itu dipercayai telah dibawa masuk menggunakan laluan darat.

Jelasnya, hasil semakan lanjut kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan telah ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam memiliki Barang Larangan Import (Rokok) yang boleh dihukum mengikut seksyen 135(1)(V)(AA) akta yang sama.

“Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua mereka boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan,” katanya.

Tambah Afzanizar, pihaknya amat mengalu-alukan sebarang maklumat dari orang awam untuk bersama-sama membantu pihak berkuasa membanteras penjualan rokok tidak bercukai itu terutama kepada golongan remaja serta pelajar sekolah. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI