SHAH ALAM – Seorang pegawai perangkawan di Jabatan Perangkaan Selangor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 43 pertuduhan mendapatkan suapan bagi projek pembekalan kontrak dan meluluskan tuntutan perjalanan palsu dengan nilai keseluruhan RM32,751.20, tahun lalu.
Tertuduh, Noor Azlin Jaafar, 37, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan dalam tempoh hampir sejam di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Ibu tunggal kepada dua anak kembar itu didakwa atas lima pertuduhan mendapatkan suapan bernilai RM18,731.20 bagi lima projek pembekalan kontrak kepada tiga buah syarikat termasuk satu daripadanya milik saudara lelakinya.
Projek pembekalan tersebut melibatkan perkhidmatan mencetak dan merekabentuk seperti dokumen survey perdagangan edaran 2019, buku nota bagi kegunaan program dan responden projek WRC 2019, Non-Woven Beg, borang perdagangan serta borang selidik survey guna tengan dan gaji upah.
Tertuduh yang berjawatan Gred E44 juga didakwa 38 pertuduhan mendapatkan suapan bagi meluluskan tuntutan palsu perjalanan dalam negeri bernilai RM14,020 untuk lima kakitangannya berusia 31 hingga 40.
Kesemua perbuatan itu dilakukan Noor Azlin di tempat kerjanya di Jabatan Perangkaan Selangor bermula Mac hingga Disember 2019. -K! ONLINE