TELUK INTAN – Sepasang kekasih yang mendakwa diabaikan keluarga antara 22 individu yang dicekup dalam operasi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di tiga lokasi sekitar daerah Hilir Perak semalam.
Ketua Pegawai AADK Hilir Perak, Najmiah Hanafi berkata, pasangan kekasih itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Langkap hasil maklumat orang ramai.
“Ketika serbuan dilakukan di rumah itu, seorang lelaki cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.
“Pemeriksaan lanjut kemudian menemui seorang remaja perempuan berumur 19 tahun dan seorang lelaki berada di dalam salah sebuah bilik di rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, peralatan menghisap dadah iaitu cebisan plastik lutsinar, gunting dan ‘dapur’ turut ditemui dalam bilik tersebut.
Katanya, remaja itu mendakwa antara punca dia terbabit dengan dadah kerana faktor keluarga di mana ibu bapanya bercerai sehingga memberi tekanan perasaan kepadanya.
Menurutnya, seorang wanita berusia 50-an kemudian keluar dari bilik berasingan dan mengaku ibu tiri remaja perempuan itu.
Najmiah berkata, tangkapan turut dilakukan di kawasan tanah perkuburan dan bengkel motosikal yang dijadikan sarang penyalahgunaan dadah di sekitar daerah itu dalam operasi bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam itu.
Katanya, kesemua individu yang ditahan iaitu 21 lelaki dan seorang perempuan berusia antara 19 hingga 52 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati 15 lelaki dan remaja perempuan itu positif opiat dan methamphetamine,” katanya. – K! ONLINE.