ALOR SETAR – Penggunaan nama Ffira Mikah di sebuah stadium di Kuala Nerang dekat sini yang tular dan menjadi bahan jenaka dibuat tanpa mengikut prosedur ditetapkan kerajaan negeri.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pemberian nama stadium tersebut hanya dibincangkan di peringkat kerajaan tempatan tanpa dibawa ke mesyuarat Exco dipengerusikannya untuk diluluskan.
“Perlu dijelaskan, setiap nama jalan, lokasi, taman atau stadium hendaklah dibincangkan di peringkat kerajaan tempatan dan diangkat ke mesyuarat Exco yang berlangsung setiap minggu untuk diluluskan.
“Namun dalam hal ini, perkara itu tidak berlaku kerana pemberian nama stadium tersebut hanya dibincangkan di peringkat kerajaan tempatan saja,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini. – K! ONLINE