fbpx

Manfaatkan Skuad Projek FAM-MSN­

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YUSRI (tengah) bersama barisan kejurulatihan akan membimbing Skuad Projek FAM-MSN yang bakal bersaing dalam kancah Liga Premier musim depan.

Oleh Mohd. Fariq

PERASAAN bercampur baur dalam kalangan peminat-­peminat bola sepak tempatan telah berlaku selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) mengumumkan satu skuad projek yang dibarisi pemain muda dan akan bermain dalam kempen Liga Premier musim 2021.

Masakan tidak, penulis sempat menjenguk tirai laman sosial di mana masing-masing meluahkan pandangan tersendiri sejurus keputusan FAM memperkenalkan skuad persis Harimau Muda pada tahun hadapan.

Seperti biasa, ada pihak yang bersetuju dan ada pula sebalik­nya termasuk menganggap keputusan untuk mewujudkan skuad projek tersebut bermain dalam Liga Malaysia adalah satu langkah ke belakang.

Bagi yang bersetuju, mereka melihat resipi ini mampu mengu­langi prestasi cemerlang sebagaimana Harimau Muda berjaya memenangi pingat emas Sukan SEA 2008 dan 2011 selepas bermain dalam liga tempatan (Liga Premier dan Liga Super) terma­suk menjadi juara Liga Premier pada 2009 dan menduduki tangga kelima Liga Super pada 2011.

Apa pun, penulis di sini menghormati setiap pandangan penyokong dan pemerhati tegar yang sentiasa memberikan perhatian serius terhadap perkembangan bola sepak bola negara.

Bagaimanapun, penulis secara peribadi menganggap keputusan FAM mengumumkan skuad projek bermain di Liga Premier sebenarnya tidaklah seburuk yang disangkakan.

Jika diikutkan, kelab-kelab yang sepatutnya bertanggungjawab mencungkil bakat pemain muda tetapi atas dasar inisiatif FAM sendiri, mereka sekali lagi mengulangi formula Harimau Muda demi kegemilangan bola sepak negara.

Namun, penulis tidak berminat untuk menuding kesalahan kepada mana-mana pihak di mana penulis sendiri sebenarnya cukup gembira kerana terdapat satu lagi saluran khusus buat pemain-pemain muda yang tidak dapat menyertai kelab yang bermain di Liga Super, Liga Premier mahupun di peringkat liga amatur, Liga M3.

Bagi penulis, ia adalah satu kepuasan untuk menyaksikan lebih banyak pemain-pemain muda bermain dalam kejohanan kompetitif dan ini adalah satu peluang keemasan buat pemain-pemain muda negara menyahut cabaran bermain di Liga Premier pada tahun depan.

Dengan peluang pemain-­pemain muda bermain di luar negara terhad, sampai bila kita mahu menyaksikan dua pemain dalam pembikinan seperti Safawi Rasid atau Luqman Hakim Shamsudin ini sahaja menyinar tatkala kedua-dua pemain muda negara ini baharu mengorak langkah bersama kelab Eropah iaitu Portimo­nense dan KV Kort­rijk.

Jadi, penulis percaya pemain-pemain yang bermain dalam Skuad Projek FAM-MSN harus memanfaatkan peluang bermain dalam Liga Premier di mana ini juga antara salah satu platform terbaik untuk mencuri perhatian daripada kelab-kelab dalam mahupun luar negara.

Jadi persoalan sebenar, adakah wajar kita peram pemain-pemain yang tidak ada peluang menyertai kelab lain atau memberikan mereka peluang kedua dengan beraksi dalam Skuad Projek ini?

Tepuk dada tanya selera dan kita semua seharusnya memberikan sokongan padu kepada skuad projek ini dalam memastikan moral mereka berada di tahap kondisi terbaik ketika bermain dalam Liga Premier nanti.

Nasihat juga kepada pemain-pemain ini supaya tidak sesekali alpa selepas mendapat peluang yang diberikan di mana persembahan kamu akan dilihat seluruh penyokong-penyokong tegar bola sepak tempatan.

Tidak dilupakan juga penulis ingin mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada pengendali Skuad Projek FAM-MSN, Yusri Che Lah di mana penulis berharap beliau akan terus mencungkil bakat baharu negara sama seperti yang dilakukan oleh Datuk K. Rajagobal dan Datuk Ong Kim Swee.

Akhir kata, kejayaan tidak datang bergolek begitu sahaja dan kita semua seharusnya memberikan sokongan moral yang cukup positif buat skuad muda negara yang akan bermain dalam Liga Malaysia nanti.

Mohd. Fariq merupakan penulis sukan bola sepak lebih daripada 20 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI