SEPANG – Malaysia Airports optimis terhadap pemulihan secara beransur-ansur bagi trafik penumpang di lapangan terbangnya susulan beberapa penyambungan semula operasi dan pengenalan laluan baharu daripada syarikat penerbangan seluruh negara.
Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) berkata, pada bulan lalu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyambut kembali penerbangan Cathay Pacific selepas tiga tahun terhenti.
“Cathay Pacific menawarkan penerbangan secara mingguan ke Hong Kong dari Kuala Lumpur.
“KLIA juga menanti penerbangan sulung Starlux Airlines dari Taipei pada Januari tahun depan.
“Penerbangan baharu ini adalah sebagai tambahan kepada laluan Taipei-Penang yang bermula awal tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Selain itu, AirAsia Indonesia ingin meneruskan operasi penerbangannya dari Kuala Namu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang berkuat kuasa bulan ini.
Jelas MAHB, menerusi sambungan semula itu, AirAsia Indonesia menjadi syarikat penerbangan asing keenam meneruskan operasinya di Pulau Pinang.
Tambah kenyataan itu, syarikat penerbangan komuniti tempatan Firefly akan mula beroperasi di Pulau Pinang sebagai hab kedua dengan memperkenalkan laluan baharu ke Kuching dan Kota Kinabalu mulai Januari 2021.
“Perkembangan menggalakkan ini telah memberikan pandangan optimis terhadap pemulihan dalam sektor penerbangan.
“Dengan pemansuhan larangan perjalanan antara negeri dan antara daerah baru-baru ini, ditambah musim percutian panjang akan datang, kami menjangkakan pergerakan penumpang bertambah baik pada bulan ini,” katanya.
Di samping itu, MAHB telah memperkenalkan satu lagi inisiatif untuk pengunjung lapangan terbang merasai pengalaman menjamu selera dengan selamat dalam bentuk sistem pesanan dan pembayaran tanpa sentuhan di kedai makanan dan minuman.
“Teknologi baharu ini akan dilancarkan di rangkaian lapangan terbang secara berperingkat bermula dengan KLIA.
“MAHB mengakui, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dilaksanakan pada bulan lalu memberi kesan kepada pemulihan trafik penumpang,” katanya.
Di samping itu, MAHB berkata, operasi kargo menunjukkan ketahanan dengan mencatatkan rekod purata 65,000 metrik tan sebulan dari Januari hingga November ini.