PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kepatuhan operator dron sektor pertanian mengenai kepentingan pendaftaran dan tahap keselamatan penggunaan dron di negara ini.
MAFI dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa CAAM sedang merangka satu arahan (directive) khusus bagi sektor pertanian dengan kerjasama kementerian terbabit.
“Sebagai sebuah kementerian yang prihatin tentang kepentingan petani, MAFI akan berbincang dengan pihak CAAM supaya sebarang peraturan yang dikeluarkan tidak akan membebankan para petani.
“Ia terutamanya dari segi kos yang berkaitan agar prosedur dan proses permohonan dan tempoh kelulusan adalah lebih munasabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
MAFI berkata, pada masa sama, pihaknya akan memastikan bahawa peraturan dan arahan khusus melalui kerjasamanya dengan CAAM dapat menjamin keselamatan penggunaan dron oleh para petani. -K! ONLINE