LIVERPOOL – Legenda Liverpool, Steven McManaman menyifatkan bekas pasukannya itu berpotensi menyambar dua kejuaraan musim ini iaitu Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris (EPL) jika dapat mengelak daripada terus dibelenggu krisis kecederaan.
Peluang The Reds mara ke suku akhir Liga Juara-Juara musim ini dilihat cerah selepas diundi menentang jaguh Jerman, Red Bull Leipzig dalam pusingan 16 terbaik pada 17 Februari depan untuk perlawanan pertama dan aksi timbal balik pada 11 Mac.
Kedudukan Liverpool dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) juga meyakinkan apabila mereka ketika ini menduduki tangga kedua menerusi jumlah pungutan 25 mata sama dengan pendahulu liga, Tottenham Hotspur selepas 12 perlawanan.
“Adakah Liverpool mampu mempertahan gelaran EPL musim ini? Sudah tentu boleh. Adakah Liverpool boleh meraih kejuaraan berganda dengan merampas kejuaraan Liga Juara-Juara? Ya, ia juga boleh dilakukan.
“Jurgen Klopp (pengurus Liverpool) telah membuktikan kemampuan skuad bimbingannya. Mereka bukan bercakap kosong kerana kedua-dua gelaran ini sudah dimenangi mereka dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
“Jika mahu menjuarai gelaran berganda, Liverpool memerlukan semua pemain penting mereka. Skrip yang berbeza jika Liverpool terpaksa mengharungi banyak perlawanan tanpa pemain seperti Alisson, Roberto Firmino, Sadio Mane dan Mohamed Salah,” kata McManaman.
Sebagai rekod, The Reds kembali menjadi pasukan digeruni di Eropah selepas berjaya menjuarai Liga Juara-Juara sewaktu edisi 2018/2019 sebelum merangkul gelaran EPL pada musim berikutnya. – AGENSI