KOTA BHARU – Seorang ahli perniagaan bukan sekadar mementingkan prestasi syarikat malah turut mengutamakan pekerjanya yang beragama Islam supaya mendahulukan solat meskipun sedang sibuk bekerja.
Fasih berbahasa Melayu dialek Kelantan, Gan Leong Piow, 72, merupakan Pengerusi Eksekutif Link Holders yang menguruskan kilang pembungkusan minyak masak di Pengkalan Chepa, di sini turut digelar Haji Ghani dalam kalangan rakan-rakannya.
Menurut Leong Piow, beliau berasal dari Kampung Atas Paloh di sini dan dibesarkan dalam kalangan masyarakat Melayu sejak daripada kecil.
Katanya, keadaan itu menyebabkan beliau tahu bahawa solat merupakan tiang agama bagi orang Islam dan wajib menunaikannya sekiranya masuk waktu.
“Walaupun bukan Islam, saya perlu menghormati pekerja yang kesemuanya adalah orang Melayu agar menjaga ibadat mereka. Pekerja di kilang ini tidak ramai iaitu hanya 50 orang dengan nisbah 60 peratus wanita dan 40 peratus lelaki.
“Sejak kilang ini beroperasi lebih 20 tahun lalu, saya menggalakkan pekerja mengutamakan solat tidak kira ketika sibuk bekerja atau tidak. Itu sudah menjadi kewajipan kepada mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di kilangnya hari ini.
Menurut bapa kepada empat orang anak itu, apabila menggalakkan pekerjanya menunaikan solat, sudah menjadi kewajipan kepadanya untuk menyediakan ruang solat yang selesa.
Katanya, ruang solat yang disediakan turut mengasingkan pekerja lelaki dan wanita selain mereka diberi masa bergilir-gilir untuk menunaikan solat dalam tempoh 30 minit.
Ujarnya yang berpengalaman selama 40 dalam perniagaan minyak masak, galakan untuk menunaikan solat kepada pekerja itu merupakan satu langkah agar pekerja datang ke kilang bukan semata-mata untuk bekerja malah mereka juga boleh menunaikan ibadah.
“Saya amat mementingkan kebajikan pekerja. Syarikat ini menanggung separuh perbelanjaan daripada bayaran untuk menunaikan umrah di Mekah kepada pekerja sejak kilang tersebut beroperasi.
“Pekerja yang susah turut dibantu sekiranya ada yang memerlukan bantuan,” katanya.
Tambahnya, beliau tidak mengharapkan balasan sekiranya membantu mereka malah cukup sekadar pekerja melakukan pekerjaan dengan ikhlas untuk membangunkan syarikat. – K! ONLINE.