SEREMBAN- Seorang lelaki maut apabila tercampak keluar sejauh 20 meter daripada kenderaan yang dipandunya selepas terbabit dalam nahas di Kilometer 227 Lebuh Raya Utara Selatan (Arah Utara) kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, mangsa, S. Punginisvaran, 33, dalam perjalanan dari arah Seremban menghala ke Nilai dipercayai hilang kawalan sebelum kereta Proton Iswara dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
“Pelanggaran itu menyebabkan kenderaannya terbalik ke kiri jalan di laluan kecemasan. Mangsa dipercayai tercampak keluar lebih kurang 20 meter daripada tempat kejadian.
“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badan dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Fazley, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban bagi tujuan bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.