KEMAMAN – Gara-gara hilang kawalan sebelum terbabas, sebuah lori bijih besi merempuh lapan kenderaan yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat Kilometer 3, Jalan Chukai – Air Putih di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 9 pagi itu menyebabkan tiga kenderaan pacuan empat roda, tiga kereta dan dua lori termasuk sebuah milik Majlis Perbandaran Kemaman (MPM) rosak teruk akibat pelanggaran terbabit.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kemalangan dipercayai berpunca selepas kesemua kenderaan tersebut yang berhenti di persimpangan jalan kerana lampu merah tiba-tiba dirempuh sebuah lori membawa muatan bijih besi dari arah belakang.
“Antara kenderaan yang terlibat ialah kereta Perodua Myvi, Honda City dan Toyota Vios serta kenderaan pikap Proton Arena dan kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Triton.
“Tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan tetapi kemalangan berkenaan telah menyebabkan kesesakan jalan lintas sejauh lebih dua kilometer selama hampir setengah jam,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Hanyan berkata, ujian urin mendapati pemandu lori muatan bijih besi berkenaan yang berusia 52 tahun dan berasal dari Labu, Negeri Sembilan adalah negatif.
Beliau berkata, kes disiasat Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE