PARIT BUNTAR – Seorang kontraktor ditahan polis selepas dipercayai melakukan perbuatan khianat dengan membuang beduk dan al-Quran surau ke dalam parit kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, kejadian tersebut disedari penduduk pada pukul 7.30 pagi apabila pelbagai barangan milik Surau Al-Rahman, Parit Haji Samsuri, Kuala Kurau di sini seperti beduk, tikar dan al-Quran hilang dan dijumpai di parit berhampiran.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian mendapati beduk tersebut telah ditorek dan dikoyakkan sebelum dibuang di parit berhampiran.
“Selain barangan surau, penduduk turut menemui pelbagai barangan milik suspek termasuk plan rumah di dalam parit sama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Tambah Mazuki, polis turut percaya suspek turut membuang racun ke dalam sungai apabila beberapa ekor ikan di dalam parit tersebut timbul dan mati.
“Bertindak laporan yang dibuat penduduk, polis berjaya mengesan dan menahan suspek yang dikenali sebagai Mie yang berusia 43 tahun pada hari sama.
“Berdasarkan maklumat dan siasatan, suspek dikatakan mempunyai masalah mental dan sering berhalusinasi,” katanya. -K! ONLINE