SOUTHAMPTON – Pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl melaungkan keyakinan skuad bimbingannya mampu mengutip tiga mata penuh ke atas Arsenal menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates awal pagi esok.
The Saints menampilkan aksi yang cukup memberangsangkan musim ini sehingga berjaya memecah masuk kelompok empat teratas EPL menerusi tujuh kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan daripada 12 perlawanan.
Dua kemenangan berturut-turut dilakar Southampton dalam saingan EPL sejak kebelakangan ini menjadi pembakar semangat buat pasukan itu untuk menambah luka Arsenal yang kini sudah empat perlawanan berturut-turut tewas apabila beraksi di Emirates.
“Secara jujur, Arsenal memang banyak melakukan hantaran daripada luar kotak penalti tetapi ia langsung tidak berbahaya dan terbukti apabila mereka sendiri sukar untuk menjaringkan gol.
“Namun, Arsenal masih memiliki ramai pemain bagus yang mampu mengecewakan kami. Jadi, kami sama sekali tidak boleh memandang rendah kemampuan mereka, sebaliknya bertandang ke sana dengan penuh keyakinan untuk membawa pulang tiga mata,” kata Hasenhuttl.
Pada masa sama, pengendali dari Austria itu menjelaskan, pencapaian cemerlang The Gunners di pentas Liga Europa tidak membawa sebarang makna apabila beraksi dalam saingan EPL yang sukar dijangka dan lebih mencabar tahap kompetitifnya.
“Saya tahu mereka meraih keputusan yang baik di pentas Eropah tetapi ia berbeza dalam saingan domestik. Mereka perlu lebih fokus terhadap empat aksi tanpa kemenangan di laman sendiri,” ujarnya. – AGENSI