fbpx

Berlin Leong cipta nama di Sepanyol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERLIN beraksi pada saingan Liga Sepanyol bersama pasukannya, FC Pozuelo B menentang Real Madrid B pada Ahad lalu.

SELEPAS tampil beraksi pada saingan Liga Sepanyol bersama pasukannya, FC Pozuelo B, pemain bola sepak wanita negara, Berlin Leong sudah memahat sejarah tersendiri.

Pemain berusia 19 tahun itu turun buat pertama kali meski­pun gagal membantu pasukan­nya mencatat kemenangan apabila tewas 0-4 kepada Real Madrid B.

Bapa Berlin, Leong Yok Kin menyuarakan rasa bangga dan gembira apabila menyaksikan anaknya itu diberikan peluang merasai saingan liga bola sepak di Eropah.

Justeru, beliau yang juga Pre­siden kelab bola sepak KL Cityboys berharap Berlin mampu memikat barisan kejurulatihan Pozuelo sekali gus dinaikkan pangkat ke skuad utama.

“Ya, liga di sana baru bermula dan dia sudah diturunkan ketika bertemu Real Madrid B. Saya akui sangat bangga dan gembira apabila dapat melihat dia beraksi di Eropah.

“Harapan saya adalah untuk melihat bagaimana perkemba­ngan dia di sana. Sudah tentu saya mahu dia tampilkan aksi terbaik bagi mencerahkan peluang menyertai pasukan utama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Selain berharap Berlin boleh menembusi skuad utama, Yok Kin tanpa berselindung me­ngakui mahu melihat anaknya dipancing oleh pasukan-pa­sukan lebih besar.

“Sekiranya dia menyerlah bersama skuad kedua, sudah tentu dia akan diberikan peluang menyertai pasukan utama. Selain itu, tidak mustahil pasukan-pasukan besar akan cuba mendapatkan khidmatnya,” tambah beliau.

Sebagai rekod, Berlin pernah mewakili Malaysia pada kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah-19 Tahun 2018 selain membantu Pulau Pinang pada saingan Piala Tun Sharifah Rodziah 2018.

Selain Berlin, pemain wanita Malaysia yang turut menempa nama di luar negara adalah pemain skuad wanita bawah 15 (B-15) kebangsaan, Celine Chuang yang mencipta sejarah mewakili kelab gergasi Jerman, Bayern Munich.

Celine yang berusia 15 tahun beraksi untuk skuad wanita kedua B-17 Bayern Munich sejak Julai lepas.

Celine juga sudah menyumbat gol pertama antarabangsa bersama Malaysia ketika beraksi dengan skuad B-15 wanita Harimau Malaya pada Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Wanita B-15 2019 selepas menewaskan Cambodia 2-1 di Chonburi, Thailand.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI