KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan dalam kes bekas setiausaha bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang didakwa atas lima pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM6.35 juta akan mempertimbangkan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi menyemak semula pertuduhan itu.
Perkara itu dimaklumkan peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili tertuduh Mohd. Azhar Che Mat Dali ,49, ketika sebutan semula kes di hadapan Hakim Rozina Ayob di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Menurut Ariff Azami, hari ini pihaknya baru menerima beberapa dokumen berkaitan kes daripada pendakwaan.
“Berdasarkan dokumen ini kami boleh majukan untuk mengemukan representasi, jadi kami akan mengemukakannya,” katanya.
Terdahulu semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Natrah Fareha Rahmat berkata setakat ini kira-kira 30 dokumen yang antaranya berkaitan kontrak projek belum diserahkan kerana perlu diperhalusi.
“Justeru kami pohon keseluruhan dokumen diserahkan kepada pihak pembelaan dalam tempoh sebulan,” katanya.
Hakim Rozina kemudian menetapkan 11 Januari 2021 untuk sebutan bagi serahan dokumen tersebut.
Pada 15 Oktober lalu, Mohd. Azhar mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi. -K! ONLINE