fbpx

Azmeer kecewa Sakit gagal mara, cadang kuota lagu layak ditambah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azmeer

PETALING JAYA – Ketua juri Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35), Azmeer mendedahkan dia telah mencadangkan kepada pihak produksi atau penganjur agar kuota lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) ditambahkan kepada 15 buah lagu.

Bukan itu sahaja, Azmeer atau nama sebenarnya, Mohd. Azhar Abu Bakar turut memberi buah pandangan agar kategori seperti Balada, Pop Rock dan Etnik Kreatif turut diwujudkan semula.

“Banyak sangat lagu yang bagus pada tahun ini, sudah boleh dikategorikan atau dibahagikan mengikut genre seperti satu ketika dahulu. Di AJL nanti ada satu juara keseluruhan. Saya sudah cadangkan.

“Saya cakap dengan pihak penganjur tentang perkara ini namun saya tidak mempunyai kuasa untuk mengubah undang-undang atau sifir yang ditetapkan penganjur hanya kerana saya hanya seorang juri. Tugas saya memberi markah kepada lagu-lagu yang bertanding.

“Saya faham ramai yang kecewa apabila lagu yang mereka jangka ke AJL35 gagal ke pentas berprestij itu. Perlu juga diingatkan, markah bukan dari saya seorang, ada enam lagi juri profesional lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Sakit, Canggung kegemaran saya – Azmeer

Menurut Azmeer lagi, dia juga terkilan dan kecewa kerana lagu kegemarannya iaitu Sakit nyanyian Yonnyboii dan Zynakal serta Canggung (Wany Hasrita) gagal mara ke AJL35.

“Apa saya boleh buat? Bukan saya seorang yang beri markah. Saya tidak boleh sesuka hati tolak atau tambah markah yang diberikan oleh juri-juri lain.

“Sebagai ketua juri, saya boleh katakan Sakit gagal ke AJL35 tidak bermaksud lagu itu tidak bagus. Mungkin lagu ini tidak mara ke AJL35 tapi kalau bertanding di Anugerah Industri Muzik (AIM), peluang dan skripnya berbeza,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia memberi analogi suatu ketika dahulu, Lagu Sinaran nyanyian Datuk Sheila Majid gagal menyerlah di AJL namun lagu itu sangat berjaya di gelanggang lain dan terkenal bukan sahaja di Malaysia.

“Sebagai contoh lagu Sinaran dan Lagenda. Sampai sekarang kita nyanyi lagu itu walaupun tak menyerlah di pentas AJL. Di sini saya ingin katakan, kalau tak mara ke AJL, tidak bermaksud sesebuah lagu itu tidak bagus.

“Aishah ada sedikit kekurangan ketika menyanyikan lagu Aku Bidadari Syurgamu, tapi melodinya bagus. Ini pertandingan untuk lagu, bukan pertandingan nyanyian. Jangan hukum komposer kalau ada kesilapan daripada penyanyi,” katanya.

Kedudukan 13-15

Diminta mendedahkan lagu-lagu berada di kedudukan 13 hingga 15, Azmeer tidak keberatan menyebut beberapa nama lagu.

“Saya boleh katakan, Sakit, Canggung, X Missing U, Sembah dan Takkan Terlerai berada dalam senarai tersebut. Semua 30 lagu bagus namun sebagai juri kita harus membuat pilihan.

“Kita tidak dapat puaskan hati semua orang dan markah berdasarkan tabulasi markah ketujuh-tujuh juri profesional. Kalau masih tak berpuas hati, saya juga terbuka andai musim hadapan penganjur nak panggil juri lain bahkan yang luar dari Malaysia,” katanya.

Dedah Azmeer, markah diberikan berdasarkan 40 peratus dari kualiti melodi manakala 60 peratus lagi dari segi susunan muzik, persembahan vokal dan lirik.

Malam tadi, 12 lagu diumumkan layak ke AJL35 iaitu Belenggu Rindu nyanyian Wany Hasrita dan Datuk Jamal Abdillah, 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kmy Kmo dan Luca Sickta), Hati (Hael Husaini), Semalam (Aina Abdul), Peluang Kedua (Hael Husaini), Hutang (Floor 88), Kau Sakiti (Amir Masdi), Gundah (Ernie Zakri), Aku Bidadari Syurgamu (Aishah), Gila (Kaka Azraff, Noki dan Tuju), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter) dan Eh (Zizi Kirana).

AJL35 dijadual berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 7 Februari tahun depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI