SUNGAI PETANI – Anak sulung kepada nelayan yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki bersama lima rakannya terlanggar sebuah boya berdekatan Jeti Swettenham Pier, George Town di Pulau Pinang pada semalam berharap bapanya ditemui selamat.
Menurut Nur Aina Umairah, 10, dia menantikan kepulangan bapanya, Khairul Azhar Ahmad, 32, dengan selamat.
“Saya tidak mahu hadiah, saya hanya mahu ayah pulang ke pangkuan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Pantai Kuala Muda di sini hari ini.
Katanya, dia juga sempat berpesan kepada bapanya supaya pulang awal kerana mahu menyambut hari lahirnya yang ke-10 bersama.
“Harapan dan doa saya adalah ayah ditemui selamat dan pulang ke rumah. Saya mahu sambut hari lahir bersama ayah,” ujarnya sedih. – K! ONLINE