fbpx

10 banduan ditawarkan kerja kontrak dengan MPKB-BRI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TENGKU Mohamad Rizam (empat dari kiri) menyampaikan kata-kata semangat kepada banduan yang menerima sumbangan motosikal roda tiga di Penjara Pengkalan Chepa hari ini.

KOTA BHARU – Seramai 10 orang banduan Penjara Pengkapan Chepa yang mempunyai baki hukuman kurang daripada dua bulan dipilih untuk bekerja secara kontrak dengan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) sehingga mereka dibebaskan.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf berkata, banduan yang menjalani hukuman luar penjara atau dikenali Orang Diparol (ODP) akan dibayar gaji secara tuntutan oleh Kelab Penjara secara bulanan dengan melakukan kerja pembersihan dan pemotongan rumput.

Menurutnya, MPKB-BRI berhasrat untuk membantu bekas penghuni penjara yang memerlukan sokongan dan dokongan untuk meneruskan kelangsungan hidup selain dapat kembali semula ke dalam kehidupan bermasyarakat.

“Bagi membantu mereka, Jabatan Penjara Negeri Kelantan telah bersetuju untuk menyalurkan tenaga kerja yang akan melakukan khidmat pemotongan rumput dan pembersihan di kawasan yang ditentukan.

“Kita turut menyediakan lima buah motosikal roda tiga dan peralatan untuk pembersihan kawasan yang disalurkan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) berjumlah RM50,000,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Motosikal Sumbangan Maik Melalui Program Kolaborasi MPKB-BRI dan Maik di Jabatan Penjara Malaysia Negeri Kelantan, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Sumbangan motosikal beroda tiga itu disampaikan oleh Yang Dipertua Maik, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua Maik, Zulkiflie Ab.Rahman; Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Wan Sani Ab.Latif dan Pengarah Penjara Pusat Koreksional Machang, Sukri Harun.

Mengulas lanjut, Tuan Zainal berkata, pihaknya bertanggungjawab untuk memastikan kebersihan dan keceriaan persekitaran kawasan perbandaran.

Katanya, bantuan yang diberikan kepada banduan dapat membantu pihaknya untuk merealisasikan visi dan misi MPKB-BRI.

Sementara itu, Tengku Mohamad Rizam berkata, sumbangan itu merupakan projek perintis antara Maik, MPKB-BRI dan Jabatan Penjara Negeri Kelantan bagi membantu ODP.

Katanya, ia merupakan satu usaha murni tiga agensi kerajaan dan berupaya dikembangkan ke sektor lain pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI