KUALA LUMPUR – Pendakwah selebriti Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful yang didakwa di tiga mahkamah berasingan atas pertuduhan melakukan seks oral, mencabul dan merogol dua wanita minggu lalu selesai membayar jumlah ikat jamin RM35,000.
Perkara itu disahkan peguam, Syed Amirul Syed Edros yang mewakili Syed Shah Iqmal, 25, ketika dihubungi semalam.
Syed Amirul berkata, meskipun ikat jamin itu selesai dibayar, mahkamah akan memaklumkan kemudian mengenai tarikh bila anak guamnya dibenarkan keluar.
“Hari ini (semalam) penjamin sudah selesai bayaran jamin. Bagaimanapun, mahkamah akan maklumkan kemudian mengenai tarikh bila Syed Shah Iqmal akan dapat keluar,” katanya.
Ditanya siapakah penjamin yang membayar jumlah jaminan itu, Syed Amirul memaklumkan, terdapat dua penjamin yang membayar jumlah ikat jamin itu.
“Di Mahkamah Petaling Jaya, penjamin merupakan abang tertuduh manakala di Mahkamah Shah Alam adalah pengurusnya,” katanya.
Jumaat lalu, Kosmo! melaporkan Syed Shah Iqmal gagal membayar jaminan yang ditetapkan menyebabkan dia terpaksa ‘menginap’ selama lima hari di Pusat Tahanan Reman Sementara, Beranang.