fbpx

Sorok dadah, ketum dalam rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Taufik (tengah) menunjukkan pil kuda yang berjaya dirampas di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 2, Gua Musang kelmarin.

GUA MUSANG – Kegiatan pengedaran dadah didalangi seorang lelaki di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Paloh 2 di sini tumpas apabila ditahan polis di rumahnya kelmarin.

Dalam serbuan pukul 10.30 malam itu, lelaki berusia 34 tahun yang tidak bekerja itu ditahan bersama dadah yang disorok di dalam sebuah bilik bernilai RM35,780.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, sebanyak 1,978 biji pil kuda, 20 biji pil hijau bertulis WY dan enam paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki syabu dirampas.

Katanya, selain itu, polis turut menemui wang tunai sebanyak RM2,322 dipercayai wang hasil menjual dadah.

“Rampasan dadah itu dipercayai boleh dibekalkan kepada seramai 1,750 penagih di sekitar Palon dan Gua Musang.

“Berdasarkan siasatan, penganggur itu juga menggunakan taktik licik apabila menyembunyikan kegiatannya daripada pengetahuan ahli keluarga,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di sini hari ini.

Mohd. Taufik berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kini telah ditahan reman selama seminggu bermula kelmarin.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Sementara itu, dalam sebuan berasingan di sebuah rumah di RKT Kesedar Jeram Tekoh pukul 9 pagi pada hari yang sama, polis menemui 700 kilogram daun ketum.

Katanya, dalam serbuan itu, pihak polis terpaksa memecah pintu depan rumah sebelum menahan enam lelaki berumur antara 16 hingga 45 tahun.

“Mereka cuba melarikan diri melalui tingkap rumah, namun berjaya diberkas oleh anggota Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

“Pemeriksaan di dalam rumah menemui 49 bungkusan plastik hitam berisi daun berwarna hijau dipercayai ketum bernilai RM7,000,” katanya.

Menurut Mohd. Taufik, ujian air kencing mendapati dua daripada enam suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Tambahnya, kesemua suspek juga ditahan reman selama seminggu bermula kelmarin untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI