PETALING JAYA – “Saya nak makan dulu dengan mak dan ahli keluarga, nak duduk rehat dulu, bertenang, lepaskan rindu dengan keluarga dahulu.”
Demikian kata-kata pertama pendakwah selebriti Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful sejurus dilepaskan selepas lima hari di Pusat Tahanan Reman Sementara, Beranang.
Syed Shah Iqmal ketika ditemui sebentar tadi berkata, dia memerlukan ruang untuk menenangkan diri selepas melalui pelbagai keadaan sejak ditahan reman sehingga dituduh di mahkamah.
Katanya, sepanjang ditahan dia sering termenung dan sentiasa bertanya atas dugaan yang diberikan namun tetap reda dengan ketentuan Allah.
“Saya hanya berdoa semoga dipermudahkan urusan, sebaik-baik manusia adalah orang yang meminta maaf manakala yang terbaik pula yang memaafkan. Saya memaafkan mereka mengutuk, Saya reda dengan ketentuan ujian, inilah penutupan tahun 2020,” katanya.
Ditanya mengenai gelaran Da’i yang dimenangi menerusi satu program realiti televisyen swasta, Syed Shah Iqmal berkata, ia adalah sekadar gelaran sahaja dan tidak menjadi masalah sekiranya gelaran itu dilucutkan.
Terdahulu, Syed Shah Iqmal hadir di dua mahkamah iaitu Shah Alam dan Petaling Jaya bagi proses jaminan termasuk dihadiri kedua-dua penjaminnya. Semalam kedua-dua penjamin itu telah selesai membayar kesemua wang ikat jamin RM35,000. Turut hadir peguam yang mewakilinya Syed Amirul Syed Edros.
Jumaat lalu, Kosmo! melaporkan Syed Shah Iqmal gagal membayar jaminan yang ditetapkan menyebabkan dia terpaksa ‘menginap’ selama lima hari di Pusat Tahanan Reman Sementara, Beranang. – K! ONLINE