Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK
ROMPIN – Panik diugut kononnya bakal ditangkap kerana tunggakan cukai syarikat, seorang peladang di sini kerugian RM5,700 akibat diperdaya sindiket Macau Scam.
Kejadian bermula apabila lelaki berusia 25 tahun berkenaan dihubungi wanita menyamar pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, suspek memaklumkan mangsa tidak membayar cukai RM38,600.
“Mangsa menafikan milikan syarikat tersebut sebelum dihubungi individu menyamar polis dan diminta membuat laporan penafian kepada Bank Negara Malaysia (BNM).
“Talian disambungkan kepada BNM. Mangsa yang panik diminta menyerahkan nombor kad bank berserta kata laluan dan nombor kod pengesahan transaksi (TAC),” ujarnya.
Tambah beliau lagi, sejurus tamat perbualan tersebut, mangsa terus menghubungi pihak bank untuk menyemak baki akaun dan mendapati RM5,700 telah lesap.
Mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Rompin semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE