NEW YORK – Rangkaian perkhidmatan Google didapati mengalami gangguan mengakibatkan jutaan pengguna di seluruh dunia tidak dapat mengakses beberapa aplikasi termasuk Gmail dan YouTube semalam.
Menurut jurucakap Google, gangguan yang terjadi sekitar pukul 12 tengah hari itu berlaku selama kira-kira 45 minit.
“Kami memohon maaf kepada semua pengguna yang terjejas dan akan melakukan siasatan menyeluruh bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya selepas perkhidmatan tersebut berjaya dipulihkan semula.
Laman pengesan sambungan Internet, Downdetector berkata, pengguna seluruh dunia didapati melaporkan mengenai gangguan tersebut sejurus masalah berkenaan terjadi.
Selain itu, masalah yang berlaku di tengah-tengah waktu bekerja warga Eropah itu telah menyebabkan keresahan dalam kalangan pengguna sekali gus menjadikan media sosial sebagai tempat meluahkan kemarahan mereka.
Penggunaan tanda pagar #googledown dan #YouTubeDOWN menjadi trending apabila jutaan pengguna Internet seluruh dunia tidak dapat mengakses enjin carian tersebut.
Pelbagai hantaran dimuat naik ke laman sosial termasuk mengkritik tindakan Google yang lewat menjawab pertanyaan mengenai masalah tersebut kerana mendakwa kakitangan syarikat itu turut tidak dapat mengakses emel mereka.
“Apabila semua sistem integrasi pengurusan inventori dan Google Drive tiba-tiba hilang ketika sesi bekerja pagi ini dan seseorang telah hilang beberapa tahun kehidupannya,” ciap seorang pengguna di laman Twitter.
“Apabila anda tidak dapat Google apa yang terjadi dengan Google,” ciap seorang lagi pengguna. – AFP