PETALING JAYA – Semakan semula penarafan ke atas Malaysia oleh Fitch Ratings daripada ‘A-‘ kepada ‘BBB+’ tidak akan membantutkan usaha Malaysia menuju ke arah pemulihan ekonomi pada 2021.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif Belanjawan 2021 malah dijangka menyumbang kepada sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 6.5 hingga 7.5 peratus pada tahun hadapan.
“Ramai ahli-ahli Yang Berhormat sering mengatakan unjuran ini terlalu optimistik. Namun, Fitch sendiri mengunjurkan pertumbuhan pada kadar 6.7 peratus iaitu sejajar dengan unjuran Malaysia.
“Institusi lain seperti IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) mengunjurkan pertumbuhan sehingga 7.8 peratus iaitu lebih tinggi daripada unjuran kerajaan.
“Ini secara amnya menunjukkan keyakinan terhadap kebolehan ekonomi Malaysia untuk melonjak kembali,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) berhubung langkah kerajaan untuk menangani keputusan mengejut Fitch Ratings menyemak turun penarafan kredit Malaysia. – K! ONLINE