PETALING JAYA – Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Di Raja Malaysia (PDRM) telah melancarkan Operasi Lampu Merah bermula hari ini sehingga 31 Disember nanti di seluruh negara yang melibatkan semua kontijen dan daerah.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, operasi tersebut dilakukan bagi mengesan mereka yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah terutama dalam kalangan penunggang motosikal termasuk penghantar makanan/barangan (P-hailing) serta pemandu kenderaan yang lain.
“JSPT memandang serius sikap dan ternd pemanduan ini yang boleh menyebabkan berlakunya kemalangan serta menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
“Statistik penguatkuasaan ke atas kesalahan melibatkan langgar lampu isyarat merah pada tahun lalu merekodkan 69,267 saman dengan pecahan motosikal (32,657), kereta (29,873), lori (2,808) dan lain-lain kenderaan (3,929).
“Manakala dari bulan Januari hingga November 2020 pula merekodkan sebanyak 52,170 saman dengan pecahan motosikal (26,764), kereta (20,751), lori (2,208) dan lain-lain kenderaan (2,447),” jelasnya melalui satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Azisman, operasi itu juga bertujuan mendidik dan memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya supaya mematuhi lampu isyarat.
“JSPT mengingatkan semua pengguna kenderaan supaya berhati-hati dan sentiasa mematuhi isyarat lalu lintas bagi keselematan bersama.
“Penunggang motosikal atau kenderaan lain yang didapati melakukan kesalahan akan diambil tindakan saman serta merta atau direkodkan butiran kenderaan terlibat bagi tindakan susulan saman,” ujarnya.
Jelasnya, mana-mana individu yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah boleh diambil tindakan di bawah kaedah 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 yang mana boleh didenda tidak melebihi RM 2,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan. -K! ONLINE