PETALING JAYA – Pelakon Nafiz Muaz tampil memberi amaran terakhir buat seorang individu lelaki yang kerap menghantar mesej serta gambar lucah kepadanya.
Naik berang dan tidak tahan dengan perbuatan keji itu, Nafiz atau nama sebenarnya Muhd. Nafiz Muaz Mat Nasir, 22, meminta individu itu segera memberhentikan perbuatan tersebut sebelum mengambil tindakan undang-undang.
Enggan mendiamkan diri dan membiarkan daripada terus terjadi, Nafiz menwar-warkan perkara tersebut menerusi sebuah video yang dimuat naik di saluran YouTube miliknya.
Dalam video berdurasi hampir lapan minit itu, Nafiz turut berkongsi tangkap layar mesej berbaur lucah serta gambar tidak senonoh yang dihantar individu tersebut kepadanya.
“Sebelum ini ada yang buat perangai macam ini tapi aku tak nak cerita. Tapi ini kira last warning (amaran terakhir) la. Aku tak akan tunjuk nama dia dan apa yang dia hantar.
“Hanya sekadar aku tunjuk mesej dia sahaja. Tak payah la buat benda macam ni, lelaki kot. Kalau hantar dekat perempuan, mungkin normal. Kau ingat aku ini apa? Kau tak malu ke? Tak ada maruah diri?,” katanya menerusi video tersebut.
Tambah pelakon drama Semua Salahku itu lagi, dia tidak mempunyai niat untuk membuka aib mana-mana pihak tetapi kali ini dirinya sudah hilang sabar kerana perbuatan tersebut melebihi batas dan dilakukan berulang-ulang kali.
Nafiz sebelum mengakhiri videonya sempat menitipkan nasihat kepada mereka di luar sana agar berhati-hati terutamanya golongan wanita kerana ramai manusia yang bertuhankan nafsu dan berniat jahat. – K! ONLINE